Sejauh mana maruah intifada PAS

Apalah erti persahabatan dalam Pakatan pembangkang jika tidak sampai setahun setengah setelah pilihanraya umum yang lalu, pakatan mereka sekali lagi lerai. Rebutan kuasa, sifat dengki mendengki, tidak menghormati pendapat satu sama lain menjadi dasar perpecahan mereka.
Jelas, Aidilfitri yang menuntut sesama kita bagi mengeratkan silaturahim tidak terpancar dalam Pakatan ini. Sejak sebelum lebaran lagi, mereka saling menyusun strategi siapa akan jatuhkan siapa, siapa mahu sokong siapa, siapa nak mengkhianati siapa.

Kajang Move yang gagal untuk menaikkan Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor kini masuk episod berikutnya. Setelah Anwar Ibrahim gagal bertanding, entah semena-mena melalui kuasa vetonya, beliau telah memilih isteri sendiri sebagai calon untuk menggantikan dirinya.

Anwar baru- baru ini pula mengaku keputusan ini dibuat supaya beliau boleh terus menjadi ‘penasihat’ buat Azizah setelah Azizah menjadi Menteri Besar nanti.

Walaupun perkara ini didengar lucu dan seolah tidak  bertamadun; sekali lagi Azizah rela dijadikan boneka Anwar dan rakyat diminta menanggung kepura-puraan ini demi cita-cita Anwar Ibrahim.

Selangor dibawah pimpinan Khalid menang besar dalam PRU-13, namun persengketaan antara Khalid dan Anwar bermula apabila Khalid engkar dari menjadi alat suruhan Anwar serta mengabaikan ‘nasihat-nasihat’ Anwar dan Rafizi Ramli dalam pentadbirannya di Selangor.

Oleh kerana tidak berpuas hati dan sifat dengki serta iri hati yang menebal, rancangan menjatuhkan Khalid pun bermula.

Perkara dan strategi tidak bermoral ini sudah sejak awal lagi ditentang oleh akar umbi PAS. PAS yang tidak bersetuju dengan pengkhianatan ini mengambil keputusan untuk menyokong Khalid. Apabila berlaku kacau bilau sokongan untuk Pakatan ketika PRK Kajang, penipuan demi penipuan politik dibuat oleh Anwar demi memastikan sokongan PAS pada Pakatan, antaranya jaminan bahawa posisi Khalid tidak akan diganggu.

Hari ini rakyat Malaysia menyaksikan sekali lagi bagaimana keteguhan prinsip perjuangan PAS. Sejak mesej whatsapp Pengarah Operasi Pusat Penyelidikkan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengenai sokongan PAS pada Khalid terbongkar tempoh hari, PAS dibedil dengan pelbagai kenyataan yang paling lantang dibuat oleh sekutunya DAP.

Dr Zuhdi juga secara tegas meminta Anwar Ibrahim untuk berundur kerana banyak menyusahkan politik Pakatan dari masalah moral hingga sikap diktatornya yang tidak menguntungkan Pakatan Pembangkang.

Kelantangan yang ditunjukkan oleh Dr Zuhdi sebenarnya mendapat reaksi mengujakan dari banyak pihak terutamanya ahli PAS kerana baru kali ini isi hati PAS begitu menonjol dan diberi perhatian dalam Pakatan yang sebelum ini dilihat tidak begitu mengendahkan suara mereka. Lebih menarik lagi, kelantangan ini juga disokong oleh Presiden PAS sendiri, Dato Seri Hj Abdul Awang.

Akar umbi PAS yang ramai terdiri dari golongan profesional Melayu Islam sebenarnya selama ini mengambil sikap berdiam diri walaupun muak dengan mainan politik berterusan oleh Anwar dan sekutunya dalam Pakatan.

PAS yang dilihat terlalu menjadi pak turut dalam setiap keputusan gabungan politik itu membuatkan ramai ahli kecewa. Suara Dr Zuhdi kali ini sedikit sebanyak menaikkan semangat mereka kerana ia  menunjukkan taring PAS dalam Pakatan.

Persoalan berikutnya adalah sejauh mana suara PAS ini bakal terus didengar dalam Pakatan? Rakyat tertanya-tanya adakah selepas mesyuarat tertinggi PAS yang bakal berlansung pada 10hb (ditunda ke 13 Ogos: editor) ini yang dianggotai oleh puak Pro Anwar dalam PAS seperti Mat Sabu, Khalid Samad, dan Mahfuz Omar, adakah semuanya bakal berubah angin? Kita tunggu dan lihat.

PAS sudah acap kali menukar haluan dalam memuaskan hati abang PKR dan DAP. Mungkin kerana terlalu sayangkan Pakatan, asas penubuhan parti dan perjuangan hudud mereka sekalipun mampu didiamkan oleh Lim Guan Eng, Teresa Kok, dan kawan-kawan dari DAP, apatah lagi hal-hal berkaitan pentadbiran parti.

Jika kali ini juga terjadi hal yang sama, rakyat hendak lihat sejauh mana lagi prinsip mampu digadaikan bagi memberi haluan buat strategi politik dan cita-cita peribadi selain bukti seteguh apa maruah intifada dalam perjuangan pemimpin-pemimpin PAS.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana