Retak menanti belah dalam PKR semakin menyerlah

ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafie agak terlewat mengumumkan ada lapan pimpinan negeri PKR yang mahu sekurang-kurangnya satu nama lain dikemukakan pada Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, selain Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pimpinan PKR kelapan-lapan negeri berkenaan mahukan nama Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali turut diajukan untuk menduduki kerusi Menteri Besar Selangor itu sekiranya pencalonan Wan Azizah tidak diterima.

Syor itu dibuat meskipun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa PKR hanya mahu presidennya sahaja dinobatkan sebagai pengganti Khalid. Anwar mendakwa keputusan itu sebulat suara.

Ahli PKR mahu calon lain

Bagaimanapun kumpulan pimpinan PKR di lapan negeri berkenaan mungkin menghidu bahawa perkembangan mutakhir berhubung isu menteri besar ini menjurus ke arah kemungkinan pencalonan Wan Azizah tidak akan dipersetujui.

Pengumuman Shuhaimi sekaligus menafikan kenyataan Anwar bahawa penamaan Wan Azizah itu sebulat suara. Rupa-rupanya ada pimpinan PKR di lapan negeri yang mahu calon alternatif dikemukakan sekali.

Bagi PAS pula pendiriannya nampaknya hampir muktamad meskipun Pimpinan Pusatnya belum membuat perbincangan rasmi (ditangguhkan dari 10 Ogos ke 13 Ogos dan mutakhir sekali dianjak ke 17 Ogos).

Ini kerana Dewan Syura Ulamanya sudahpun memutuskan bahawa PAS tidak mahu Khalid digantikan selagi tidak disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah.

Jika demikian nas Dewan Syura siapalah Dewan Pusat PAS untuk menentangnya? Maksudnya, bagi PAS Khalid adalah tetap menteri besar meskipun partinya sendiri, PKR, mahu beliau digantikan.

Arah pemikiran PAS hingga peringkat ini boleh dirumuskan sebagai;

1. PAS percaya dan yakin wibawa sistem mahkamah di Malaysia.
2. PAS tidak hirau penjelasan PKR dalam laporan 91 halamannya kepadanya berhubung “salah laku” dan tidak amanahnya Khalid.
3. Tidak timbul persoalan PAS tidak mahu Wan Azizah dilantik pengganti Khalid kerana PAS tidak bersetuju Khalid diganti.

Ini bermakna usaha Shuhaimi yang mahukan Azmin diangkat sebagai calon ganti Wan Azizah jika PAS menolak presiden PKR itu sudah terlewat. PAS tegas mahu Khalid dikekalkan.

Justeru biarpun PKR mengemukakan dua atau lebih calon baru Menteri Besar ia tidak akan membawa sebarang makna. Pendirian PAS utuh. Malah keputusan Dewan Syura Ulama PAS menegaskan bahawa pendirian itu mematuhi prinsip keadilan Islam.

PAS teragak-agak nyata pendirian

Namun penangguhan dua kali mesyuarat Dewan Pimpinan PAS Pusat dari 10 kepada 13 Ogos dan kemudian 17 Ogos menimbulkan banyak persoalan. Adakah ini bermakna PAS masih teragak-agak untuk menyatakan pendirian rasminya dalam isu mengapa ia terlalu “liat” menerima penjelasan PKR?

Adalah jelas pendedahan “salah laku dan kecurangan Khalid” oleh PKR tidak dapat diterima oleh Syura PAS. Malah ia secara langsung adalah sindiran bahawa ia tidak dapat menerima sistem penilaian yang digunakan PKR ke atas Khalid.

Lantas usaha gigih Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail “melobi” pemimpin-pemimpin kanan PAS seperti Tuan Ibrahim Tuan Man bolehlah diibaratkan “mencurahkan air di daun keladi”.

Malah yang agak memeranjatkan ialah ada pemimpin PAS yang menyifatkan laporan bertulis PKR kepada parti itu sebagai satu langkah tidak wajar untuk mengaibkan Khalid Ibrahim!

Apapun episod politik ini memberi sekilas pandang apa yang berlaku di dalam PKR sendiri apabila kini ada pula suara yang secara menentang kenyataan Ketua Umum bahawa keputusan menamakan pengganti Khalid adalah sebulat suara.

Yang jelas, kumpulan penyokong Azmin Ali masih menaruh harapan dapat membantu untuk PKR mengurangkan darjah aib yang dilemparkan PAS terhadap PKR dengan mempertimbangkan calon alternatif kepada presidennya untuk menjadi menteri besar baru Selangor.

Namun Anwar Ibrahim sedikitpun tidak teruja untuk mengulas kemungkinan untuk mempertimbangkan syor untuk meletakkan nama Timbalan Presiden Wan Azizah itu sebagai calon gantian.

Nampaknya Anwar makin tegas sedangkan pemimpin-pemimpin PKR lain semakin rimas dengan sikap “ketegak” Anwar yang hanya mahu isterinya sahaja menjadi pengganti Khalid.

Jika perbezaan pendirian ini berlarutan tidak hairanlah “retak akan menjadi belah” dalam PKR sendiri. Sudah tentu ini akan melemahkan parti itu menghadapi pelbagai serangan dari dalam dan luar.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana