"Hanya Teguran,Bukan Minta Letak Jawatan" - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berniat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap Perdana Menteri dalam catatan terbaru dalam blognya.

"Saya tidak kata dia (Najib) patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar dia.

"Ia (teguran) itu bukan bersifat peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya berkata, beliau menegur pentadbiran Najib kerana berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Katanya, hanya apabila ditegur sahaja pemimpin akan sedar kesalahan yang dilakukan dan mungkin memperbetulkannya.

Dr Mahathir berkata beliau menegur menerusi blognya kerana telah berulang kali menegur pentadbiran Najib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

"Ini bukan isu peribadi. Apa yang dilakukan Najib tidak memanfaatkan negara...ketegangan kaum dan agama meningkat, orang tidak hormat kepada Perlembagaan lagi.

"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respons, senyap...ada masalah tapi tidak ambil tindakan," katanya.

Disebabkan perdana menteri itu tidak melakukan apa-apa tindakan, Dr Mahathir berkata beliau perlu menegur Najib.

"Beliau tidak buat apa pun. Saya tegurlah. Pasal orang lain tak nak tegur," katanya, dan menambah, Najib turut menunjukkan prestasi yang teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

"Beliau tidak buat dengan baik dalam pilihan raya lepas. Saya harapkan beliau buat lebih baik," katanya.

Dr Mahathir berkata, isunya bukan sama ada Najib memberikan respons kepada kritikan di laman blog miliknya www.chedet.cc, sebaliknya beliau perlu melaksanakannya.

"Ini bukan soal jawab, soal buat."

Dalam laman blognya hari ini, Dr Mahathir secara terbuka berkata, beliau terpaksa menarik balik sokongan dan terpaksa mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir berkata, tindakan itu terpaksa dilakukannya kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruknya dalam PRU13 lalu.

"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu, terpaksalah saya menegur," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menyangka prestasi perdana menteri dalam PRU13 akan menjadi lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU12 pada 2008.

"Pilihan saya bagi mengganti Abdullah ialah Najib. Setelah beberapa lama dilihat dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," katanya menerusi blog popularnya itu.

Dr Mahathir berkata, kelemahan pentadbiran Najib disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau Datuk Seri Abdullah dan difitnah ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

"Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya," katanya.

Beliau berkata, kesalahan pertama Najib adalah apabila beliau melayan tuntutan musuh.

Dr Mahathir juga tidak berpuas hati dengan sikap pentadbiran Najib yang dilihat terlalu tunduk kepada negara-negara jiran.

Dalam PRU13 lalu, pencapaian Najib lebih buruk daripada Abdullah pada PRU12 apabila hanya berjaya mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding 140 pada 2008.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana