Hadi tiada kuasa veto dalam parti, kata ahli Parlimen PAS

Presiden PAS tidak pernah ada kuasa veto dalam menentukan sesuatu keputusan dan perkara itu tidak diamalkan dalam parti Islam itu, kata Ahli Parlimen Sepang daripada PAS Hanifa Maidin.

Hanifa berkata, dalam perlembagaan PAS, fahaman mengenai presiden mempunyai kuasa veto langsung tidak wujud.

Katanya, ini menjadikan sokongan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor hanya pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti "Sebenarnya, itu merupakan pandangan peribadi presiden dan tidak diwakili parti," katanya dalam forum bertajuk ‘Mengapa Khalid harus berhenti' anjuran Kelab Bangsar Utama di Dewan Perniagaan Cina Selangor, Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, dalam soal peralihan kuasa menteri besar Selangor, PAS tidak boleh pejam  mata membiarkan isu ketidakcekapan terus membelenggu pentadbiran negeri itu.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata, pendirian PAS sememangnya berpegang kepada keputusan yang dicapai melalui tahaluf siyasi.

"Apabila PAS menerima satu keputusan, kita tidak pernah melupakan Pakatan Rakyat (PR) dan itu kita pertahankan, meskipun saya sayangkan presiden saya, namun saya lebih sayangkan parti.

"Presiden datang dan pergi namun kita mesti kekalkan apa yang dipersetujui, demi mandat diberikan rakyat," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ini, Hadi membuat kejutan apabila menyatakan sokongan terhadap Khalid meskipun keputusan untuk bersetuju menggantikan menteri besar itu dicapai dalam Majlis Pimpinan PR.

Beliau berkata, sejak menubuhkan perikatan PR, PAS memegang prinsip apa saja bidang dan isu dibincangkan mesti berasaskan konsensus.

"Tidak ada ahli PR yang dominan, kita sentiasa berlandaskan dasar konsensus," katanya.

Meskipun tidak menyatakan secara langsung, beliau membayangkan keputusan perbincangan pemimpin PAS tetap sama dengan apa yang dicapai ketika majlis pimpinan PR.

"Memang kita ada dua kali perbincangan (tentang menteri besar Selangor), ia bagi memastikan kita benar-benar mencapai keputusan sepakat. Namun saya percaya apa diputuskan PAS adalah sama dengan pendirian kita," katanya.

Dalam konflik menteri besar Selangor, beliau berkata, ia tidak bermaksud parti itu melupakan jasa dan pengorbanan Khalid.

"Jangan salah sangka kata kita langsung melupakan kebaikan Khalid kepada kita, namun kita tidak mahu perkara yang terjadi di Kedah berulang lagi di Selangor," katanya.

Hanifa juga membuat pengakuan dalam soal konsensus beliau tidak keberatan sekiranya calon menteri besar adalah daripada parti DAP.

"Saya tidak ada masalah dengan calon menteri besar parti DAP," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisti DAP Tony Pua menyenaraikan beberapa perkhidmatan yang didakwa tidak lagi diteruskan dan masih lagi tertangguh oleh kerajaan negeri di Selangor.

Antaranya ialah projek pembersihan Sungai Klang yang melibatkan RM10 bilion dan projek bersepadu paip dengan kos RM100 juta yang masih tidak dilaksanakan sejak 2008.

"Peruntukan bajet Sistem Maklumat Jalan Raya Manusia (Maris) yang disalurkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri juga masih tertangguh," katanya.

Beliau berkata, ini bukan pertama kali kerajaan negeri dikritik dalam Laporan Ketua Audit Negara kerana laporan pada 2010 hingga 2012 menyatakan daripada RM1.1 bilion diperuntukkan Putrajaya di bawah Maris, Selangor hanya membelanjakan RM640 juta.

"RM496 juta tidak dibelanjakan. Apabila kita teliti rizab kerajaan negeri yang dikatakan meningkat itu, sebenarnya datang daripada bajet RM500 juta di bawah Maris," katanya.

Katanya, kerajaan Selangor juga sepatutnya membina pusat budaya yang menggabungkan tiga agama dan kaum tetapi itu juga tidak dilaksanakan.

"Apabila kita minta beliau (Khalid) letak jawatan, beliau minta kita beri masa sehingga penggal terakhir. Namun kita tidak mahu ia menjadi penggal terakhir buat PR," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana