Akhirnya Khalid Ibrahim Mengaku Kalah

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Setelah menerajui pentadbiran kerajaan Selangor selama hampir tujuh tahun dan beberapa bulan terakhir ini cuba bertahan dengan pelbagai asakan supaya beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 'akur' untuk berundur.

Akur dengan desakan berundur bukan bererti Abdul Khalid, 68, mengaku kalah.

Beliau meletak jawatan nombor satu di negeri paling maju setelah berusaha bertahan dan berhadapan dengan pelbagai onak dan duri Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disertainya sejak 2007 serta sokongan yang berdolak-dalik PAS, menyebabkan kerajaan negeri Selangor berhadapan dengan krisis kepimpinan yang meruncing.


SULTAN SELANGOR TANGGUH PELETAKAN

Kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor berlarutan sejak 'Langkah Kajang' Mac lepas sehingga membawa kepada pemecatan Abdul Khalid pada 9 Ogos kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mencalonkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Hasrat Abdul Khalid untuk segera melepaskan jawatan, bagaimanapun terbantut apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilihat selesa dengan pentadbiran beliau selama ini menangguh untuk menerima peletakan jawatan Menteri Besar Selangor ke-14 itu sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Susulan itu, baginda yang menerima menghadap Abdul Khalid pada Selasa turut menitahkan agar setiap parti- PKR, PAS, DAP - mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar baharu bagi memudahkan baginda membuat pilihan calon yang layak untuk jawatan itu. Sebelum ini, parti pakatan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar.

Nada suara yang kedengaran sebak semasa membacakan kenyataan berhubung permohonan peletakan jawatannya menunjukkan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang berat melepaskan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Namun, bak kata pepatah, "pinggan tak retak, nasi tak dingin, kalau orang sudah tidak hendak, elok lah kita beralih angin" menyebabkan bekas tokoh korporat yang menjadi ahli politik dan Menteri Besar itu berundur.


TIDAK PANDAI BERPOLITIKING

Sebagai Ketua Biro Bernama Selangor, penulis, yang sering membuat liputan di majlis atau program melibatkan Abdul Khalid, melihat anak kelahiran Jeram, Kuala Selangor ini sememangnya seorang individu yang sangat mementingkan kebajikan rakyat Selangor.

Beliau tidak pandai bermain politik dan dalam setiap ucapan atau sidang media, Abdul Khalid seboleh-bolehnya akan mengelak daripada menyentuh mengenai perkara itu kecuali jika diajukan pertanyaan barulah beliau menjawabnya.

Itupun, Menteri Besar itu hanya menjawab secara ringkas dan mengenali individu bernama Abdul Khalid ini agak sukar untuk mendengar perkataan yang mengutuk atau memburukkan pihak lain keluar daripada mulutnya waima seteru politiknya.

Pada beliau, tanggungjawab yang dipikul untuk mentadbir negeri Selangor adalah lebih penting dan utama.

Sikap tidak suka berpolitiking itulah yang dituntut rakyat negeri itu yang rata-ratanya masih menagih khidmat Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.


TEGAS, AMANAH DAN ADIL

Penulis turut berkesempatan bertanyakan pegawai yang berkhidmat di bawah beliau mengenai karakter bapa kepada empat orang anak itu dan jawapan yang hampir sama diterima daripada mereka, Abdul Khalid merupakan seorang yang tegas, berintegriti dan tidak pilih kasih.

Menurut mereka, Abdul Khalid akan membuka peluang sama rata kepada semua pihak tidak kira daripada fahaman politik mana sekalipun asalkan kualiti kerja atau hasil yang diberikan mampu memberi kebaikan kepada rakyat Selangor.

Janganlah sesiapapun cuba-cuba 'menyogok' Menteri Besar ini, akibatnya melepaslah projek atau tender.

Abdul Khalid juga seorang yang sangat berjimat dan hasilnya negeri Selangor mempunyai rizab tunai sehingga RM3.2 bilion.

Namun, sikap berjimat-cermat dan integriti yang dipertahankan Abdul Khalid dipercayai menjadi punca beliau kurang disenangi rakan-rakan politik beliau.


DESAKAN MELETAK JAWATAN

Dakwaan bahawa beliau sering membelakangkan parti dalam membuat keputusan dalam hal seperti penstrukturan semula industri air menyebabkan Abdul Khalid menerima tekanan daripada pelbagai pihak terutama bekas partinya untuk meletak jawatan.

Kesetiaan dan jasa Abdul Khalid terhadap PKR ternyata langsung tidak dihargai. Beliau berterusan ditekan untuk menjelaskan isu berkaitan elaun baharu Menteri Besar; kenaikan cukai bagi lesen perniagaan; isu pinjaman beliau dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Abdul Khalid ternyata kecewa dengan pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya terutama berhubung kemelut politik di Selangor dan ketika menyentuh mengenai isu pinjaman dengan Bank Islam, beliau menjelaskan tiada apa yang mencurigakan mengenai perkara itu dan semuanya dibuat dengan telus serta tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun dalam penyelesaian luar mahkamah itu.

Situasi yang dihadapinya turut mendorong menteri besar itu membacakan sebuah sajak berbahasa Inggeris bertajuk 'If' nukilan Rudyard Kipling ketika berucap pada perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor Isnin lepas, yang jelas menggambarkan keadaan yang beliau hadapi ketika ini.


MENTERI BESAR SELANGOR YANG BAHARU

Kini, karier Abdul Khalid hampir tiba ke penghujung noktah dan hanya menunggu pelantikan menteri besar yang baharu sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada kerajaan negeri Selangor secara rasmi.

Tidak langsung mahu mencampuri pemilihan penggantinya, semua diserahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk memilih calon terbaik yang pastinya bakal menambah kemelut sedia ada di negeri itu.

Jawapan bersahaja diberikan Abdul Khalid ketika ditanyakan sama ada beliau akan menerima semula tawaran sebagai menteri besar sekiranya namanya dicalonkan oleh parti pakatan, memberi 'tamparan halus' kepada pihak yang menyangkakan beliau 'kemaruk' dengan kerusi panas itu.

"Tidak. Saya sangat gembira dilepaskan daripada jawatan ini," kata Abdul Khalid, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana