Wan Saiful IDEAS Tuduh Presiden PAS Sebagai Hipokrit

 Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs), Wan Saiful Wan Jan hari ini mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai hipokrit apabila Presiden PAS itu mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“Jika PAS menghormati idea bahawa PKR memegang kerusi MB, sepatutnya biarlah PKR membuat keputusan. Jangan menjadi hipokrit, Hadi..,”kata Wan Saiful dalam twitter sekejap tadi.

Abdul Hadi dalam kenyataan hari ini mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai MB Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

“Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.

“Saya telah pun dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid Ibrahim dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila pada Jumaat.

Menurut Abdul Hadi, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Katanya kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada Rabu telah menerima cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Abdul Hadi berkata alasan pihak yang mahu menukar MB Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Abdul Khalid tidak terlibat masalah besar.

“Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan-alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar Menteri Besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.

“Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau,” tegasnya.
Wan Saiful membidas kenyataan Abdul Hadi itu yang disifatkan sebagai membelakangi parti, apabila parti itu sepatutnya mengadakan mesyuarat pada Ogos ini, namun Presiden parti telah mengumumkan keputusannya hari ini.

“Mesyuarat dijadualkan Ogos. Tapi dah umum keputusan hari ini. Adab jemaah mana ni, Hadi?,” soalnya.

Wan Saiful turut melampirkan tulisannya yang merumuskan bahawa Abdul Hadi meletakkan jawatannya sebagai Presiden PAS sejak dari tahun 2011 lagi.

“Hadi pula jangan lah bermain kata-kata, kononnya tidak mahu menjadi Presiden selama-lamanya dan bersedia dicabar. Bukannya beliau tidak tahu bahawa budaya parti politik di Malaysia ialah, sekiranya Presiden tidak menolak pencalonan, maka tidak ada harapan perubahan akan berlaku.

“Tidak ada gunanya bermain kata-kata kerana ia akan menyebabkan seorang Presiden yang telah berjaya membawa pelbagai pembaikan akhirnya dilihat sebagai tunggul yang menghalang pembaharuan.

“Jika Hadi boleh menyedari hakikat itu, maka parti dan negara akan mengingati beliau sebagai seorang tokoh ulung yang amat ikhlas berjuang sehingga rela mengorbankan jawatan dan kepentingan diri demi membuka laluan agar PAS menjadi sebuah parti nasional yang benar-benar diyakini mampu memimpin sebuah negara berbilang kaum.

“Demi memastikan PAS boleh terus mara ke hadapan, Hadi wajib segera mengumumkan bahawa beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dan menolak semua pencalonan. Hanya dengan cara itu sahaja akan berlaku pertandingan sihat yang akan membolehkan wujudnya sebuah PAS baru,” kenyataan Wan Saiful dalam tulisan itu dipetik.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana