Tukar MB: PKR Perlu Ikut Undang-Undang - Khalid

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan parti politik yang diwakilinya supaya menggunakan saluran betul dalam usaha untuk menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar Selangor.

Tegas Abdul Khalid, PKR tidak seharusnya membelakangkan enakmen dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, khususnya mengenai tatacara pelantikan atau penggantian Menteri Besar.

"Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses tersebut untuk mencapai matlamat yang  mereka inginkan.

"Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang diamanahkan rakyat Selangor yang memilih saya melalui proses pemilihan yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Penyandang jawatan Menteri Besar itu berkata demikian bagi mengulas mengenai nasib dan kedudukannya dalam kerajaan negeri selepas komplot terancang untuk menjatuhkannya berjaya mencapai kata putus.
Menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlansung pada Isnin malam, parti itu sebulat suara melantik Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid sebagai kesinambungan kepada 'Langkah Kajang'.

Abdul Khalid yang menghormati keputusan tersebut bagaimanapun menasihatkan rakyat Selangor supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai maklumat tidak tepat dan berunsur fitnah yang disebarkan berkaitan peralihan kuasa tersebut.

"Saya berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Pada masa sama, saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan  sistem pentadbiran negeri," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana