Sandiwara Anwar dalam isu penukaran MB Selangor

Kemelut mengenai jawatan Menteri Besar Selangor sudah sampai ke satu peringkat di mana pertimbangan nafsu serakah di lihat sudah mengatasai pertimbangan akal yang waras.

Pengumuman mengejut dua malam lalu yang dibuat oleh Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim menampakkan darjah kegilaan dan keporakperandaan yang kini melanda PKR yang tidak secara langsung menjejaskan keutuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

Bila Anwar Ibrahim mengumumkan isterinya sendiri akan mengambilalih jawatan Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, berbagai reaksi dapat ditimba daripada mereka yang berpengaruh di dalam masyarakat.

Bagi setengah pihak, tindakan Anwar tidak lebih daripada percubaan mementaskan sebuah drama klasik untuk menduduki tampuk kuasa dalam lingkungan sebuah keluarga terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Drama sedemikian mungkin popular di zaman klasik tetapi ianya menjadi seolah-olah seperti satu jenaka bangsawan untuk masyarakat yang hidup di abad ke 21 ini.

Di satu pihak yang lain, tindakan melulu Anwar Ibrahim lebih dilihat sebagai suatu cara atau “grand design” untuk menentukan jangkauan kuasa PKR dan PR semakin melebar khususnya dalam menghadapi PRU ke 14 akan datang.

Terdapat sekumpulan penganalisis politik dan mereka yang boleh membuat bacaan politik berdasarkan rentetan peristiwa yang berlaku di dalam PKR khasnya, cenderung mempercayai bahawa gelagat Anwar Ibrahim itu tidak lebih daripada satu tindakan terdesak untuk menangani kemelut dalam parti yang semakin meruncing yang hampir melumpuhkan PKR.

Kemelut dalaman dikatakan boleh menyebabkan hancurnya PKR. Ini disebabkan kemelut tersebut melibatkan sebahagian besar pimpinan daripada yang paling atas hinggalah pemuka-pemuka parti di peringkat akar umbi.

Pendapat ini di sokong oleh wujudnya berbagai peristiwa yang menjijikkan sepanjang pemilihan parti yang akan berakhir tidak berapa lama lagi. Wujudnya berbagai fraksi dan serpihan-serpihan daripada atas sampai ke bawah menyebabkan pimpinan tertinggi PKR termasuk ketuanya hilang punca hingga sanggup melakukan perkara-perkara yang di anggap di luar batasan kebiasaan, kewajaran politik dan tatacara melantik seorang Menteri Besar yang telah dikanunkan.

Kumpulan yang cenderung memberi ulasan sedemikian menambah bahawa PKR adalah merupakan antara parti yang paling muda di negara ini namun sudah dilanda fenomena mabuk dan gila kuasa. Hal ini pernah disuarakan oleh setengah daripada pimpinan tertinggi parti yang berasa mual dan muak melihat apa yang berlaku.

Kumpulan ini juga berpendapat terdapat tanda-tanda yang semakin jelas menunjukkan bahawa PKR akan segera jatuh tersembam ke bumi.

Tindakan Anwar Ibrahim yang seolah-olah merasakan bahawa sebahagian jasadnya berada di Penjara Sungai Buloh dilihat semakin meracau-racau. Kesan daripada tindakan beliau yang sedemikian rupa pastinya akan menyegerakan PKR dimasukkan ke liang lahad.

Lebih jauh daripada itu penganalisis politik yang mengongsi pandangan sedemikian, bersetuju bahawa tindakan hilang pedoman dan diluar garisan rasionaliti yang diambil oleh Anwar Ibrahim di baca sebagai satu cara terdesak mencari jalan keluar kepada kemelut yang semakin meruncing yang sedang dihadapi. Beliau dilihat cuba untuk mengagih-agihkan beban berat yang sedang beliau tanggung berikutan dengan berbagai masalah yang timbul hingga dilihat PKR jatuh menjadi parti caca merba.

Rata-ratanya berpendapat pendekatan caca merba tidak mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah PKR yang semakin genting dan “vicious”.

Anwar Ibrahim cuba mengagih-agihkan beban berat yang ditanggung dikepalanya bukan sahaja di kalangan saf pimpinan PKR malah tindakan gelojoh beliau itu dikatakan sebagai satu cara untuk melihat rakan politik Pakatan Rakyat terbeban sama untuk mengambil tanggungjawab itu.

Sudah difahami PAS sebagai sebuah parti komponen yang dikatakan kuat dan berpengaruh di Selangor termasuk beberapa orang pimpinan DAP tidak sejalan dan sehaluan dengan cara Anwar Ibrahim cuba menyelesaikan masalahnya.

Kajian rambang yang dibuat menunjukkan bahawa fraksi Khalid Ibrahim dilihat semakin kukuh menguasai pengkalan kuasa mereka. Daripada media sosial di dapati apa juga isu yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi Khalid Ibrahim mendapat reaksi yang sangat negatif terutama daripada mereka yang merasakan Khalid Ibrahim dikatakan sebagai pemangkin kepada sistem mengurus negeri yang telus dan terbuka.

Desas desus yang mengatakan bahawa pimpinan tertinggi PAS seolah-olah sudah muktamad menyebelahi Khalid Ibrahim untuk terus menakhodai Negeri Selangor sehingga habis tempoh penggal keduanya menambahkan lagi kecelaruan dan kebingungan Anwar Ibrahim.

Jelas kelihatan tindakan Anwar Ibrahim tidak membayangkan kedewasaan politiknya sebaliknya tindakan beliau mencerminkan seolah-olah beliau baru setahun jagung dalam
dunia politik.

Anehnya dalam percaturan politik Anwar Ibrahim bersama konco-konconya, sanggup melibatkan pihak Istana dengan cara mengambil tindakan diluar batasan konvensyen yang diamalkan sejak sekian lamanya di negeri itu.

Anwar Ibrahim dikatakan telah mengenepikan Sultan dan seolah-olah pihak Istana sudah berada dalam genggaman beliau hingga dikatakan beliau sanggup memutar belit kenyataan-kenyataan yang melibatkan Istana.

Untuk kali ini, rasanya rakyat Selangor sudah lebih daripada faham tindak tanduk Anwar Ibrahim dan angkara yang akan timbul hasil daripada perbuatan yang dipandu oleh
pertimbangan nafsu serakah gila kuasa itu.

Rakyat Selangor mempunyai cara tersendiri untuk menyekat tindakan Anwar Ibrahim yang sangat merugikan Negeri Selangor. Menyahkan Khalid Ibrahim bererti mengenepikan
prinsip-prinsip mengurus negeri atas dasar ketelusan dan keterbukaan.

Menyahkan Khalid Ibraim juga bererti ada golongan yang akan berkenduri besar untuk memuaskan nafsu syahwat memperkosa hasil mahsul dan harta kekayaan Negeri Selangor.

Akhirnya ada kalangan penganalisa politik yang cenderung melihat bahawa tindak tanduk Anwar Ibrahim merupakan sebahagian daripada agenda untuk menjadikan Selangor sebagai gelanggang melaksanakan pentadbiran negeri secara “remote control”.

Ini dilakukan menurut penganalisa politik, sebagai jalan menyelamatkan beliau daripada meringkuk di Sungai Buloh.

Percubaan beliau untuk mengembeling kekuatan rakyat bagi menidakkan beliau di bawa ke muka penjara dilihat saling tak tumpah seperti komplot dan perancangan yang dilakukan oleh Thaksin bersama adiknya Yingluck di Thailand. Jelas kelihatan konspirasi yang ditaja itu tidak membuahkan kejayaan.

Inilah yang akan berlaku di Negeri Selangor sekiranya rakyat negeri ini memilih untuk memerhati dari jauh lakon layar pementasan drama politik yang cuba dipersembahkan oleh Anwar Ibrahim.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana