PKR Sila Masalah MB Dengan Baik Atau Hilang Selangor

SHAH ALAM 24 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan Pakatan Rakyat (PR) menyelesaikan isu menteri besar Selangor dengan tertib serta penuh berhemah dengan persefahaman tiga parti bagi memastikan PR tidak terjejas khasnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Khalid berkata, beliau harap isu pertukaran menteri besar seperti yang dimahukan beberapa pihak PKR dapat diselesaikan dengan penuh tanggungjawab sekali gus memulihkan keyakinan rakyat ekoran isu ini.

“Sudah tentu kalau perkara ini tidak diselesaikan dengan penuh tertib dan adab akan menjejaskan bukan saja PR di Selangor tetapi PR dalam PRU14 akan datang.

“Saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib, bertanggungjawab dan mengikut lunas Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

“Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan mengepalai pentadbiran negeri Selangor iaitu yang menjadi menteri besar,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama akhbar rasmi negeri itu, Selangor Kini di Pejabat Menteri Besar pada Isnin.

Khalid berkata, kerajaan sebelum ini berjaya membuktikan peningkatan sokongan yang diterima daripada rakyat Selangor apabila berjaya meningkatkan sokongan dalam PRU13 pada 2013.

Dalam wawancara terkini itu, Khalid turut menyarankan rakyat meneliti perkembangan terkini isu kerusi menteri besar dengan penuh tanggungjawab dan tidak mengikuti berita fitnah dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.

“Rakyat Selangor mesti menerima hakikat Selangor mempunyai tatacara pelantikan iaitu, tatacara yang penuh tertib dalam Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya percaya kerajaan negeri dan Sultan Selangor akan mengikuti tatacara tersebut dengan penuh tertib dan penuh adab,” katanya.

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) menunjukkan sokongan rakyat Selangor terhadap PR di negeri itu jatuh merudum setahun selepas PRU13 lalu.

Kajian setahun selepas PRU13 pada Mei lalu itu mendapati sokongan kepada PR di Selangor kini hanya 35% berbanding 50% pada akhir 2012 lalu.

Ia memeranjatkan pelbagai pihak termasuk Pengerusi DAP Selangor Tony Pua kerana kadarnya begitu tinggi berbanding jangkaan mereka.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail pula meminta PR menerima kajian itu secara terbuka kerana UMcedel mempunyai rekod kewibawaan tersendiri.

Selangor terus bergolak sebaik saja selepas PRU13 apabila ada pihak dalam PKR tidak setuju khidmat Khalid disambung walaupun mendapat sokongan penuh PAS dan DAP yang mendapat kerusi lebih banyak berbanding PKR.

Sejak itu, satu persatu isu dan pertelingkahan dibincangkan secara terbuka di media oleh pemimpin PR sendiri termasuk dalam isu rampasan Bible Melayu dan Iban dari pejabat Persatuan Bible Malaysia, serbuan perkahwinan Hindu yang pengantin wanitanya bernama Melayu dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kidex.

Turut menjadi isu adalah penstrukturan air di Selangor yang belum selesai dan terkini adalah apabila PKR secara rasmi melalui Langkah Kajang mahu menukar Khalid sebagai MB sedangkan beliau tidak bersedia untuk berundur dan mahu menghabiskan penggalnya yang akan berakhir menjelang PRU14.

Turut merosakkan imej PR adalah kekecohan dalam pemilihan PKR yang selalu digunakan oleh media BN untuk memburuk-burukkan parti itu di mata umum.

Semalam Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan PKR memutuskan memilih Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai MB Selangor.

Ia kemudikan dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis Presiden PR di Bangunan Parlimen petang semalam.

Walaupun menerima kenyataan PKR berhak menamakan Wan Azizah sebagai bakal MB baru, PAS dan DAP akan berbincang di kalangan pimpinan mereka untuk menentukan sikap.

PAS akan bermesyuarat selepas Aidiltitri yang dijangka minggu depan manakala DAP belum memaklumkan tarikhnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana