Pemilihan PKR 2014 Menjangkau Tiga Bulan, Belum Dapat Diumumkan Pemenang

Pejam celik pejam celik rupa-rupanya sudah hampir menjangkau tiga bulan Pemilihan PKR 2014 berlangsung dan sampai sekarang masih berlarutan. Dari 26 April hingga pertengahan Julai 2014 masih tak selesai-selesai sehingga mengundang keraguan ramai ahli parti terhadap ketelusan proses pemilihan dan pengundiannya.

Berikutan itu Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul yang mengendalikan proses pemilihan sehingga kini belum dapat membuat sebarang

pengumuman rasmi bagi mengesahkan siapa pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden & Naib Presiden yang dipertandingkan.

Nak dikatakan kelewatan yang berlaku ini disebabkan ramai sangat ahli PKR yang terlibat dalam proses pengundian sehingga memaksa PKR melanjutkan tempoh pengundian sehingga berbulan lamanya, langsung tidak masuk akal kerana rekod menunjukkan keahlian parti itu sekitar 500,000 orang sahaja.

Daripada jumlah 500,000 ahli PKR yang layak mengundi itu pula hanya lebih kurang 10 peratus atau 50,000 orang sahaja yang keluar mengundi untuk memilih pemimpin yang disukai mereka. Jumlah sekecil itu sepatutnya cukup sehari sahaja untuk JPP melangsungkan proses pemilihan terus disusuli pengiraan undi dan keputusan rasmi.

Lainlah kalau keahlian PKR mencecah angka puluh juta, logiklah berlaku kelewatan semasa proses pemilihan, tapi tidaklah sampai berlanjutan selama tiga bulan kerana India misalnya yang mempunyai 814 juta pengundi berdaftar cuma memerlukan masa 6 minggu sahaja untuk selesai pemilihan seterusnya mengumumkan pemenang.

Begitu juga dengan negara jiran, Indonesia di mana seramai 190 juta rakyatnya layak mengundi memilih Presiden baru mereka tidak perlu menunggu sehingga tiga bulan baru mengetahui pemenang rasmi sebaliknya sekitar dua minggu sahaja keputusan rasmi yang disahkan akan diumumkan.

Jumlah 50,000 ahli PKR yang keluar mengundi dibandingkan dengan 814 juta pengundi di India dan 190 juta rakyat Indonesia yang mengundi, jauh bezanya macam langit dengan bumi tapi yang peliknya proses mengendalikan jumlah pengundi yang terlalu kecil itu seakan satu masalah besar bagi PKR.

Cuba pula kita bandingkan dengan Pemilihan UMNO 2013 yang jumlah ahlinya lebih 3 juta orang dan ahli yang layak mengundi dalam pemilihan itu ialah kira-kira 200,000 orang, adakah proses pemilihan UMNO tahun lepas itu memakan masa dua tiga bulan baru dapat diketahui keputusan siapa menang siapa kalah?

Cuma sehari sahaja UMNO sudah selesai buat proses pemilihan, diikut pengiraan undi kemudian keputusan rasmi diumumkan. 19 Oktober 2013 pengundian dilangsungkan dan sebelum tengah malam sudah diketahui keputusan siapa yang disahkan menang jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Efisien, cekap dan telus.

Demikian halnya dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tempohari berjaya menyelesaikan proses pengundian melibatkan lebih 11 juta orang dari keseluruhan 13 juta pengundi berdaftar dalam tempoh cuma sehari.

Angka 11 juta pengundi berdaftar yang dikendalikan SPR itu beratus kali ganda lebih besar dari angka 50,000 ahli PKR tapi disebabkan kecekapan, ketelusan dan pengurusan yang sistematik maka SPR dapat memastikan segala proses pemilihan dan pengundian kendaliannya berjalan lancar dan selesai dalam tempoh kurang 24 jam.

SPR yang sering dicemuh oleh pemimpin PKR itu ternyata telah terbukti kecekapan mereka dan UMNO yang kerap ditohmah itu juga jauh lebih efisien mengendalikan pemilihan parti. Tak terdetik rasa malu di kalangan pemimpin PKR melihat kejayaan SPR? Tidak segan silukah PKR dengan kemampuan UMNO?

Jelas nyata di sini, soal angka sebenarnya bukan punca penyebab proses Pemilihan PKR 2014 masih tidak berpenghujung meskipun sudah menjangkau tiga bulan lamanya. Masalah utamanya ada kaitan dengan ketidakcekapan mengendalikan proses pemilihan mungkin disebabkan ego yang tinggi dan kelemahan urus tadbir dalam parti.

Ia amat memalukan kerana selama ini para pemimpin PKR sering mendabik dada bercakap soal pentingnya kecekapan dalam pengurusan dan acap kali mendendangkan perihal ketelusan dan keadilan, tapi yang dilaung-laungkan itu sebenarnya hanya omongan kosong, sekadar kosmetik yang tak tergapai untuk direalisasikan.

Jadinya bila ramai ahli PKR sendiri semakin meragui ketelusan proses pemilihan parti yang mereka dukung, tiada sebab untuk pimpinan PKR melatah menuding jari menyalahkan orang lain. Mereka berhak mempertikaikannya setelah berbulan letih menunggu khabar berita yang tidak kunjung datang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana