PAS Akan Laksana Hudud Di Semua Negeri Jika Ada Kuasa Majoriti – Dr. Khairuddin

KUALA LUMPUR: PAS belum bersedia terutamanya dari segi kuasa majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu, akui Ketua Penerangan Dewan Ulama Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Jelas beliau, pelaksanaan hukum hudud di Selangor memerlukan satu pemerhatian teliti sebelum membuat pilihan berdasarkan persekitaran, perbezaan budaya dan kepelbagaian bangsa bagi mendapatkan persetujuan semua pihak selain faktor masa.

Selain itu kata Mohd Khairuddin, perancangan pelaksanaan undang-undang itu perlu dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat memandangkan negeri itu dinaungi tiga parti tidak seperti Kelantan yang dimonopoli PAS.

“Untuk kita bawa hudud ke DUN bergantung kepada majoriti dan kuasa demokrasi, hudud ini adalah perjuangan PAS dan ia bukan perjuangan DAP dan PKR…ini kita harus terima.

“Kelantan kita menang majoriti yang besar dan kita bawa pada 1993, di Terengganu kita dapat majoriti yang besar kemudian kita bawa pada 2002 dan bila kita menang di Kedah kita ada majoriti yang kecil dan perlukan sokongan yang banyak.

“Bermakna kedudukan kerusi itu tidak memungkinkan kita bawa dalam keadaan yang mungkin menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerusi ini menambah Selangor negeri milik Pakatan dengan PAS hanya menguasai 15 kerusi berbanding rakan-rakan lain.

Untuk rekod, Pakatan menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN dengan kedudukan parti ialah PAS PAS (15 kerusi), DAP (15 kerusi) dan PKR (14 kerusi) manakala BN (12 kerusi).

“Selangor juga sama yang mana kita tidak mempunyai majoriti yang besar, kita hanya ada 15 kerusi…maknanya tidak ada kerusi yang besar.

“Dalam keadaan itu kita meraikan pandangan parti-parti lain, kalau kita ada kuasa yang besar kita akan bawa…isunya ialah isu kuasa,” katanya.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar daripada Barisan Nasional (BN) Kamarol Zaki Abdul Malik mencadangkan usul yang meminta kerajaan negeri mengkaji kebarangkalian pelaksanaan hudud di negeri itu dalam persidangan DUN.

Usul yang dibawa menggesa agar kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.

Bagaimanapun cadangan usul itu ditarik balik dengan semua anggota DUN Selangor daripada BN menyokongnya atas alasan untuk memberi peluang kepada 15 ADUN daripada PAS mengemukakan sendiri usul berkenaan memandangkan hudud adalah agenda utama perjuangan parti tersebut.

‘Tangguh’ hasrat sehingga PAS dapat mandat kuasa

Tambah Mohd Khairuddin lagi, pelaksanaan hukum hudud di Selangor akan ‘ditangguhkan’ buat sementara waktu sehingga PAS menguasai majoriti dalam DUN negeri.

“Kita ambil kaedah Islam, bertaqwalah kamu kepada Allah maksima kemampuan kamu. Jadi kemampuan yang ada di peringkat DUN kita ada 15 orang ADUN yang tak mampu memungkinkan mereka menguasai majoriti besar bagi DUN.

“Maka kita tangguhkan dulu untuk menunggu sampai masa kita ada kuasa yang besar,” katanya.

Ditanya mengenai penarikan semula usul tersebut oleh BN, beliau menyifatkan parti pemerintah itu tidak serius untuk melaksanakan hukum hudud di Selangor.

“Kita melihat usul yang dibuat itu usul bersifat politik semata-mata untuk perangkap (PAS), kalau Umno betul-betul serius nak bawa (ke DUN) kenapa tak dibuat dulu di DUN yang mereka ada kuasa majoriti?

“Bawa dulu ke DUN Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan sebagainya, kenapa dibuat di peringkat Selangor? Kerana ini perangkap sahaja dan terbukti selepas beberapa hari ia ditarik balik.

“Kalau betul kenapa tak diteruskan sahaja?,” katanya.

Tegas Mohd Khairuddin lagi, sekiranya usul tersebut diteruskan wakil rakyat PAS dalam DUN sudah tentu akan memberikan sokongan.

“Kita boleh lihat bagaimana respons ahli-ahli dalam DUN.

“Pasti sahaja kalau dibuat di peringkat DUN pasti ADUN PAS akan menyokong tetapi tentu tidak akan menang juga,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana