Mike cabar Khalid dan pembantunya kira sendiri undi Cabang Kuala Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri khalid Ibrahim dan Setiausaha Politiknya Azman Abidin dicabar mengira sendiri undi bagi Cabang Kuala Selangor jika tidak berpuas hati, kata S. Manikavasagam.

Bekas ahli Parlimen Kapar itu juga membidas Azman yang membuat tuduhan membuta tuli kononnya kemenangannya di Cabang itu meragukan lantaran bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi dibuat.

Jelas Manikavasagam atau lebih dikenali dengan nama Mike, bekalan elektrik terputus bukan hanya di kawasan pejabat PKR (tempat pengiraan undi) malah di seluruh bangunan Merchant Square termasuk  kediaman yang berdekatan.

Lebih menjengkelkan, Azman tiada di tempat kejadian ketika insiden itu berlaku, ujar Mike.

"Sepatutnya Azman ini turun sendiri lihat, jangan hanya duduk sahaja dan  beri terus bagi kenyataan seperti ini. Mana ada muka dia saya tidak tengok dia pada hari kejadian.

"Kalau nak kira semula kira sepuluh kali pun saya sedia, panggil Azman dan Tan Sri Khalid kira pun tidak mengapa, saya tidak takut," katanya kepada Antarapos.

Azman semalam mendakwa berlaku sabotaj ketika berlangsungnya pengiraan undi bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor melalui insiden 'blackout' pada malam Rabu yang lalu.

Mike yang pernah digantung keahliannya oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menegaskan ketika kejadian itu berlaku, kiraan undi untuk Ketua Cabang itu belum pun bermula.

"Blackout bukan sahaja satu bangunan tapi semua kawasan, jadi jangan cakap blackout itu sebab itu mahu lakukan sabotaj, ini semua karut.

"Sepatutnya pihak mereka terima kekalahan itu jangan cakap itu ini beri alasan," tambahnya.

Pada pemilihan itu, kesemua pasukan Mike di peringkat Cabang memenangi saingan masing-masing termasuk David Selvam (Timbalan Ketua), Azhar Jamil (Naib Ketua), D. Thalapathi (Ketua Pemuda), Azril Idris (Timbalan Ketua Pemuda), V. Bobonath (Naib Ketua Pemuda), Latifah Sulaiman (Timbalan Ketua Wanita) dan K. Punithavathy (Naib Ketua Wanita).

Mike hampir hilang kelayakan bertanding sebelum ini apabila digantung keahlian akibat memberi kenyataan kepada media berhubung dakwaan berlakunya politik wang dalam pemilihan parti.

Namun hukuman tersebut ditarik balik yang membolehkan beliau terus mencabar Khalid yang merupakan penyandang jawatan ketua Cabang itu.

Mike dan Khalid diketahui umum tidak mempunyai hubungan baik berikutan bekas ahli Parlimen itu seringkali mengkritik kepimpinan Menteri Besar Selangor itu, sepanjang tempoh pemerintahnnya di negeri terkaya di negara ini.

Dalam pada itu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul pada sidang medianya menafikan dakwaan Azman dan menegaskan proses pengiraan undi Cabang Kuala Selangor bebas daripada elemen sabotaj.

"Sebaik sahaja mengetahui insiden blackout tersebut, JPP mengarahkan proses pengiraan dihentikan serta-merta dan hanya disambung pada jam 2 pagi, setelah bekalan elektrik kembali pulih.

"Tidak mungkin sabotaj kerana pengiraan adalah untuk Cabang, bukannya pusat tambahan Khalid dilihat mendahului undi jawatan timbalan presiden jadi tidak timbul tuduhan begitu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Johari turut mengesahkan penjelasan Mike bahawa insiden bekalan elektrik terputus tidak hanya berlaku di ibupejabat PKR sebaliknya melibatkan seluruh bangunan Merchant Square.

Insiden itu telah dilaporkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana