Tak Perlu Hairan 16 September Pun Satu Dunia Kena Tipu – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 16 April –  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata berdasarkan rekod Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memutarbelitkan apa jua kenyataan atau pun perkara maka tidak hairan kalau dia boleh mendakwa  mampu menyelesaikan misteri kehilangan MH370 hanya dalam sesaat sekiranya diberi kuasa.

Tegas beliau lagi sama seperti sejarah 16 September di mana satu dunia tertipu dengan dakwaan  bahawa pakatan pembangkang akan mengambil alih Putrajaya bila mana seramai 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti.

“Dalam hal kehilangan MH370 ini satu dunia berusaha mencari dan menyelesaikan misteri pesawat tersebut. Ini soal sensitif dan bukan perkara main-main. Saya tidak faham bagaimana dia boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian. Lebih saya tidak faham apabila masih ada yang mahu mempercayai apa yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim.

“Perlu diingat, ini bukan pertama kali Anwar berbohong. Sudah banyak kali dan penipuan kali ini amat memalukan. Seolah-olah rakyat amat bodoh dan tidak mampu untuk berfikir,” jelasnya kepada UMNO-Online.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata Anwar hanya mengolah skrip lama sama seperti penipuan 16 September.

Bukan itu sahaja penipuan jelas beliau malah sebelum pilihan raya umum yang lalu, Anwar juga telah mengeluarkan kenyataan sekiranya pembangkang kalah maka dia akan bersara dari politik dan akan menjadi pensyarah namun sehingga kini kenyataannya itu hanya tinggal satu kenyataan kosong.

“Anwar hanya pandai memperdayakan rakyat demi kepentingan politiknya sahaja. 16 September tipu, nak jadi pensyarah tipu… Dulu semasa di penjara pada tahun 1999, dia dakwa di racun dengan arsenik dan disuntik HIV.

“Tengok sahaja dirinya sekarang… masih sihat.  Sampai bila rakyat mahu terus diperkotak-katikkan… Lelaki bernama Anwar Ibrahim ini ternyata sanggup buat apa sahaja demi kepentingan politik. Saya sedih kerana perkara seperti kehilangan MH370 bukanlah satu perkara mainan yang boleh dipersendakan.

“Ini melibatkan dunia. Kita masih bersedih dengan kejadian ini. Usaha masih berterusan dilakukan untuk merungkai kehilangan MH370 tetapi Anwar seakan memandang remeh perkara ini. Jika benar dia boleh menyelesaikan perkara ini dalam sesaat, buktikan. Buktikan kepada dunia bahawa dia mampu menyelesaikan perkara ini dalam sesaat,” ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana