Rakyat Pulau Pinang Janji Dikhianati...

PULAU PINANG 4 April - Langkah Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menaikkan tarif air disifatkan penduduk negeri ini sebagai tidak prihatin dengan kebajikan serta beban ekonomi mereka.

Orang ramai yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini turut melahirkan kekesalan dan menyifatkan hasrat menaikkan tarif air itu sebagai pengkhianatan terhadap janji Kerajaan DAP sebelum ini yang tidak akan berbuat demikian.

Pengusaha premis makanan di Bukit Jambul dekat sini, Mujahidin Idris, 38, berkata, kenaikan tarif air itu akan memberi kesan lebih besar kepada peniaga sepertinya.

“Saya berharap kerajaan negeri memandang serius kesan cadangan kenaikan tarif air ini kepada peniaga kecil seperti saya kerana akan menjejaskan pendapatan kami.

“Air merupakan keperluan asas yang penting untuk semua orang dan apa-apa keputusan yang mahu diambil kerajaan negeri sepatutnya disertai dengan kajian mendalam kesannya kepada orang ramai," katanya.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan kadar tarif air negeri ini akan dinaikkan selepas mengambil kira permintaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk berbuat demikian.

Guan Eng dalam keputusan itu turut menyalahkan penduduk kononnya tidak bijak menguruskan penggunaan air sehingga menyebabkan penggunaannya di negeri ini menjadi yang tertinggi.

Menurut Guan Eng, langkah menaikkan tarif air itu juga merupakan jalan terakhir dalam mendidik pengguna di negeri ini supaya lebih berjimat cermat dalam menggunakan sumber tersebut.

Sementara itu, peniaga pasar malam, Mohd. Amirul Haikal, 23, berkata, alasan Ketua Menteri yang mendakwa kenaikan tarif tersebut sebagai usaha membendung masalah pembaziran air adalah kurang bijak.

“Jika benar kerajaan negeri ikhlas membendung masalah pembaziran air, mereka harus memikirkan penyelesaian yang tidak akan menyusahkan kerana mereka telah dipilih untuk menjaga kebajikan, bukannya membebankan rakyat," katanya.

Bagi seorang lagi pengusaha gerai makanan, Joko Arif, 28, dia beranggapan tindakan kerajaan negeri menaikkan tarif itu tidak akan menyelesaikan masalah pembaziran air dalam kalangan penduduk negeri ini.

“Sepatutnya Ketua Menteri memikirkan penyelesaian lebih proaktif dan berkesan berbanding menggunakan jalan mudah menaikkan tarif air sebagai usaha membendung pembaziran," katanya.

Bagi kakitangan swasta, Azmadi Zakaria, 38, pula, langkah menaikkan tarif air itu tidak kena pada masanya kerana orang ramai masih lagi menyesuaikan diri dengan pelbagai kenaikan harga barangan keperluan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sepatutnya mengambil kira pendapat orang ramai sebelum bersetuju dengan cadangan itu supaya mereka dapat membuat persediaan awal.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana