Pertandingan dalam PKR hanya sandiwara - Dr Mahathir

SERI ISKANDAR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pertandingan suami isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, hanya sandiwara Anwar.

"Anwar selalu mengadakan sandiwara, sepanjang masa dia hidup dalam sandiwara, dia nak jadi PM (perdana menteri) atas pentas bolehlah. Macam-macam yang dia buat, semuanya sandiwara," katanya.

 Bekas perdana menteri itu berkata, pertarungan suami isteri berkenaan adalah gimik politik yang mempunyai tujuan tertentu atau 'ada udang sebalik batu'.

Pada pemilihan parti itu bulan depan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding jawatan timbalan presiden mencabar penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan muka baharu, Datuk L Ramachandran.

Bagi empat tempat naib presiden, dua penyandangnya iaitu Nurul Izzah Anwar anak sulung Anwar, dan Tian Chua akan berdepan pertandingan 15 penjuru, selain terdapat 76 calon akan berebut untuk mendapat tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Menyentuh cadangan PAS untuk membawa usul rang undang-undang persendirian mengenai Hukum Hudud di Dewan Rakyat, Dr Mahathir berkata, itu adalah hak mereka dan terpulang kepada anggota Dewan Rakyat untuk membuat keputusan.

"Jika majoriti (daripada mereka) menyokong, (jawapannya) ya, tapi saya tidak tahu sama ada usul ini memerlukan majoriti dua pertiga atau tidak. Ia akan meletakkan DAP dan UMNO dalam kedudukan memalukan," katanya kepada pemberita selepas memberikan satu ceramah umum di Universiti Teknologi Malaysia, di sini.
Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana