PENCARIAN MH 370 : YANG TERSURAT DAN TERSIRAT.....

Banyak dah kita baca, dengar dan tengok berkenaan misteri hilang lesap penerbangan MH370 MAS. Macam-macam hujah, alasan, teori dan andaian dibuat. Ada yang saintifik dan masuk akal dan ada yang karut-marut.

Kunta Kinte nak tambah sikit lagi berkenaan gerakan cari dan selamat (S&R) pesawat Boeing 777-200ER yang hilang pada 8 Mac lalu itu.

Kunta Kinte nak sebut secara ringkas berkenaan apa yang tersurat dan tersirat dalam operasi itu sebab Kunta Kinte tengok, dalam keadaan kita dukacita pun ada juga orang seronok dan bangga kononnya kita banyak kawan, diplomasi kita bagus dan negara kita dihormati. Kalau betul macam tu, Kunta Kinte kata baguslah dan ucap tahniah. Tapi, kita janganlah dabik dada dan puji diri sendiri sampai lupa hakikat dan realiti.

Banyak negara bantu

Mula-mula apa yang tersurat. Banyak negara bantu cari MH370 pasal warganegara mereka adalah antara penumpang pesawat itu. Daripada 239 orang, 227 adalah penumpang dan 12 anak kapal. Mereka datang dari 14 buah negara. Jadi banyaklah negara yang bagi bantuan.

Kalau mereka tak bantu atau buat-buat tak tahu, mereka akan ditanya oleh waris rakyat mereka yang hilang. Jadi, suka tak suka mereka kena ambil bahagian dan tunjuk yang mereka peduli.
Lagipun, ada banyak undang-undang, protokol dan konvensyen antarabangsa yang wajibkan pihak awam dan swasta bantu operasi cari dan selamat tak kira di darat atau laut.

Misalnya kapal laut, tak kira awam, tentera atau komersial diperlukan bagi bantuan segera bila mereka terima isyarat cemas daripada kapal yang hadapi masalah yang mengancam nyawa.

Dalam hal MH370, kita tengok macam mana Vietnam jadi negara pertama pikul tanggungjawab sebab ikut pelan penerbangan, lepas kapal terbang itu keluar dari ruang kawalan udara Malaysia, ia masuk ruang kawalan Vietnam.

Jadi ikut peraturan penerbangan antarabangsa, Vietnam kena jawab. Bila Vietnam kata pihaknya tak terima panggilan dari MH370, ada orang tuduh dan syak Vietnam cuba sembunyi rahsia.

Lepas berpuluh-puluh buah kapal laut dan udara berkejar ke Laut China Selatan tapi tak jumpa apa-apa kesan, barulah terbit sikit demi sikit cerita dari pihak kita sendiri bahawa pesawat itu mungkin patah balik.

Memang betul ia berpatah balik. Nak salahkan orang yang curiga kecekapan dan siap sedia kita pun tak boleh juga. Memang nampak kita kurang bersedia, tak selaras dan bercelaru bila hadapi media massa tempatan dan antarabangsa.

Yang baik, kita kata baik. Kalau perlu kita puji. Tapi Kunta Kinte rasa, kalau kita anak jantan, kita akuilah kelemahan kita dan kita usaha sungguh-sungguh mengatasinya agar ia tak berulang.

Memang betul banyak negara dan pihak menyumbang macam-macam bantuan berharga dan canggih kepada kita. Kita ucap syukur dan terima kasih.

Tetapi, kita kena juga faham perkara yang tersirat dalam operasi ini. Inilah masa paling baik bagi negara dan agensi uji, promosi dan pasarkan kelengkapan mereka.

Kunta Kinte yakin lepas ini ada pihak yang cuba ambil peluang buat duit daripada tragedi MH370 dengan cadangan beli kelengkapan itu dan ini. Kita wajib jaga agar agar tak jadi mangsa kepada ejen komisen.

Bagi banyak negara dan pihak, inilah peluang keemasan buat perisikan tentera dan ekonomi. Dalam keadaan biasa, tentu susah bagi angkatan tentera begitu banyak negara masuk keluar Laut China Selatan sesuka hati.

Tapi, atas alasan mencari dan selamatkan pesawat MAS itu, setiap inci permukaan dan dasar laut di kawasan yang disyaki boleh diselidik, diukur dan dipetakan dengan menggunakan peralatan canggih daripada radar kepada sonar dan satelit.

Maklumat dan data yang diperoleh itu sangat berharga sebab Laut China Selatan cukup strategik daripada segi pelayaran, pertahanan dan sumber semula jadi seperti minyak dan gas.

Sebab itulah China mati-matian kata semua Laut China Selatan hak dia dan Amerika Syarikat pula menganggapnya sebagai laut paling strategik daripada segi pertahanan.

Bagi pihak kita pula, kalau kita sebuah negara yang berperadaban, kita tentu kenang budi. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Kita dah termakan budi

Kita dah terhutang budi kepada banyak negara dan pihak yang bantu kita dalam tragedi ini. Kalau satu masa nanti mereka minta tolong kita pula, misalnya pujuk kita buat perjanjian itu dan ini dengan mereka, tentulah susah bagi kita nak kata tak mahu. Kita dah termakan budi.

Satu lagi, secara am dan secara khusus dunia dah tahu buruk dan baik, lemah dan kuat kita. Yang jadi korban misteri MH370 tidaklah terhad kepada 239 yang ada dalam kapal itu saja. Turut jadi korban adalah imej, maruah, integriti dan rahsia negara kita.

Kalau kita tak belajar juga dan asyik dok seronok sendiri konon negara kita banyak kawan dan pencapaian kita ok, Kunta Kinte tak tahulah apa lagi yang akan buat kita belajar dan perbaiki diri. Wallahualam - BERITA HARIAN.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana