ITU DIUNGKIT PEMIMPINAN PKR...HUDUD : PKR INGATKAN PAS KITA SUDAH JANJI HUDUD TIDAK DILAKSANA

Mesyuarat Pakatan Rakyat pada tahun 2011
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengulangi pendirian bahawa Pakatan Rakyat (PR) telah membuat keputusan tentang isu hudud pada tahun 2011 iaitu tidak akan melaksanakan undang-undang tersebut di negara ini.

Azmin dilaporkan FMT berkata perkara ini dipersetujui bersama dalam Majlis Pimpinan PR pada tahun tersebut yang dihadiri semua pemimpin tertinggi PAS, DAP dan PKR.

“Perkara ini bagi saya tidak berbangkit kerana kita telah berbincang dengan terperinci dalam Majlis Pimpinan PR yang dihadiri semua pemimpin tertinggi. Perbincangan (ketika) itu berkisar kepada kertas kerja yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita telah menjelaskan pendapat kita dan berdasarkan konsensus itu, kita memutuskan banyak kali. Bagi saya kita tetap akan berpegang kepada pendirian PR dalam sesi tersebut,” kata Azmin dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Azmin bagaimanapun berkata beliau yakin pimpinan kerajaan negeri Kelantan akan merujuk kepada pimpinan PR mengenai isu ini.

“Saya pasti yang orang ramai akan dapat penjelasan lanjut mengenai isu itu. Jika ada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan negeri Kelantan, saya pasti pemimpin negeri akan berbincang dengan pimpinan PR supaya kita boleh beri pendapat kita,” katanya lagi.

Azmin bagaimanapun memberitahu majlis pimpinan PR belum lagi dirujuk oleh kerajaan negeri Kelantan mengenai isu ini.
“Saya tak nak membuat spekulasi…usul ini belum lagi dibincangkan (di Parlimen) dan saya pasti perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan PR yang seterusnya.

“Apa yang saya rujuk sebelum ini ialah bil (Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II) di Kelantan dibuat lebih awal sebelum penubuhan PR dan kita telah bincangkan perkara ini dalam mesyuarat sebelumnya.

“Apa pun jika ada perkembangan terbaru saya yakin PAS akan merujuk kembali kepada majlis pimpinan untuk membincangkannya,” tegas Azmin.

Kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai PAS baru-baru ini bercadang untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II.

Cadangan ini kemudiannya ditentang oleh Ahli Parlimen Gelugor Karpal Singh dengan alasan bahawa perlaksanaan hukum hudud bertentangan dengan perlembaagaan kerajaan persekutuan walaupun ianya telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

kenyataan terbaru PKR yang diwakili Azmin itu hampir sama dengan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dua hari lepas.
The Malaysian Insider melaporkan bahawa DAP lantang membantah hudud kerana pendirian tersebut ditetapkan sejak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang ditandatangani pada tahun 2011.

Mesyuarat pada tahun 2011 yang dimaksudkan Azmin dan Kit Siang adalah Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR pada 28 September 2011 di pejabat PAS, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani, Anwar (PKR), Abdul Hadi (PAS) dan Kit Siang (DAP) menyebut PR hanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang dibuat sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat, tetapi PR hanya bersetuju untuk melaksanakan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Bermakna PR hanya memperakui hudud kerana dibuat sebelum wujudnya PR, tetapi tidak akan melaksanakannya kerana tidak mendapat persetujuan bersama dalam PR.

Mesyuarat PR itu diadakan susulan daripada desakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertegas mahu melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.
Berikut kenyataan bersama PR pada 28 September 2011 sepertimana yang disiarkan laman pemuda.pas.org.my/.

KENYATAAN BERSAMA MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

30 Syawal 1432 / 28 September 2011
Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

YB DATO SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG
YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
YB TUAN LIM KIT SIANG

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana