Hotel Quality tutup: Khalid lepas tangan...

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak 'lepas tangan' dalam isu penamatan perkhidmatan 105 pekerja  Hotel Quality di Shah Alam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa beliau tidak mengetahui perkhidmatan pekerja hotel berkenaan ditamatkan adalah tidak berasas.

"Hotel itu di bawah pengurusan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) dan KPS merupakan anak syarikat KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) ...Abdul Khalid pula merupakan Pengerusi kepada KDEB.

"Sebagai Menteri Besar serta orang yang memikul tanggungjawab, mustahil beliau tidak tahu, tolong jangan bersikap lepas tangan," katanya Khamis.

Dalam sidang media Rabu, Abdul Khalid berkata pihaknya tidak mengetahui penamatan perkhidmatan pekerja terbabit.

Abdul Khalid juga mendakwa walaupun KDEB memiliki majoriti saham dalam KPS namun pengurusan syarikat itu di bawah jagaan anggota lembaga pengarahnya.

Mengulas lanjut, Noh berkata Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau tidak mahu dipersalah dalam isu berkenaan.

"Beliau kena perjelaskan dan ambil tanggungjawab tentang isu ini, saya juga meminta pekerja yang terlibat supaya mengambil tindakan undang-undang, sekiranya mereka teraniaya," katanya.

Akhbar melaporkan seramai 105 pekerja Quality Hotel ditamatkan perkhidmatan oleh KPS berikutan penutupan hotel yang sudah beroperasi selama 26 tahun itu pada 1 Jun ini selepas mengalami kerugian.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KPS Amin Lin Abdullah dipetik sebagai berkata kesemua pekerja terbabit menerima surat pemberhentian kerja pada 31 Mac lepas dan dimaklumkan hari terakhir mereka bertugas ialah 31 Mei ini.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata UMNO Selangor akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat berhubung perjanjian penjualan tanah di Kuala Langat antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat Tropicana Corporation Berhad.

"Seperti dilaporkan (media), perjanjian itu dibuat selepas DUN dibubarkan dan sebelum menjelang pilihan raya umum yang lepas, saya nak tanya Menteri Besar boleh ke urusan jual tanah berlaku ketika negeri ditadbir kerajaan sementara? Apa sebab hal itu dibuat selepas DUN terbubar?.

"Saya juga nak tahu mengapa kerajaan negeri menjual tanah itu kepada Tropicana di bawah harga pasaran, iaitu RM17 (bagi satu) kaki persegi, sedangkan Tropicana menjual tanah yang sama kepada sebuah lagi syarikat swasta dengan nilai RM35 (bagi satu) kaki persegi dalam tempoh kurang setahun," katanya.

Beliau berkata laporan SPRM bertujuan meminta suruhanjaya itu menyiasat jika wujud unsur penyelewengan dan rasuah berhubung penjualan tanah berkenaan.

Pada April tahun lepas, kerajaan negeri menerusi PNSB menjual 474.3 hektar (1,172 ekar) tanah paya kepada Tropicana dan syarikat itu kemudian menjual satu perempat daripada jumlah tanah terbabit kepada Eco World Development Group Berhad pada nilai lebih tinggi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana