45 Keluarga Mangsa Pencerobohan Lahad Datu Terima Rumah Baru

LAHAD DATU 25 Feb -  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini menyerahkan kunci rumah kepada 45 ketua keluarga yang kehilangan tempat tinggal semasa peristiwa pencerobohan pengganas bersenjata di sini awal tahun lepas.

Beliau berkata penyerahan rumah baharu itu melibatkan 25 unit di Kampung Tanjung Batu manakala 20 unit lagi di Kampung Tanjung Labian dengan kos keseluruhan RM3.04 juta.

"Kejayaan menyiapkan rumah ini sekali lagi menjadi bukti keprihatinan serta keupayaan kerajaan persekutuan dalam menunaikan janji yang telah dibuat sebelum ini.

"Sepertimana yang kita telah maklum, bahawa perdana menteri dalam lawatannya ke Lahad Datu pada 6 April tahun lepas telah mengumumkan akan memberi bantuan rumah baharu kepada penduduk yang terjejas dalam insiden pencerobohan itu, dan kita telah lihat janji telah pun ditunaikan," katanya pada majlis penyerahan kunci di Kampung Tanjung Batu hari ini.

Beliau berkata pembinaan rumah itu adalah berlandaskan konsep 'building back better' iaitu kerajaan membina semula rumah yang jauh lebih baik serta lebih berkualiti kepada rakyat berbanding rumah yang didiami sebelum ini.

"Tentulah suasana hidup yang lebih selesa akan dirasai dan saya berharap semua mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha untuk membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat," kata Shahidan.

Beliau berkata sebanyak 32 unit rumah lagi akan dibina dan pihak Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek tersebut.

"Rumah itu akan dibina dalam masa terdekat bagi memastikan penduduk kampung tidak terus terkesan dengan peristiwa pencerobohan itu, di samping menyahut hasrat perdana menteri untuk memastikan mangsa daripada insiden itu kembali normal seperti sedia kala," katanya.

Beliau turut menyeru keluarga yang menerima rumah baharu agar menjaganya dengan baik dan bertanggungjawab.

Ketua Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian, Mahmmohd Mallaing yang merupakan antara penerimanya berkata pihaknya sangat berterima kasih dengan kerajaan yang sentiasa prihatin dengan nasib penduduk.

"Kerajaan telah banyak membantu kita dan pada hari ini saya sangat gembira kerana rumah kami sebelum ini yang telah musnah telah dibina semula dengan rumah yang begitu baik sekali," katanya.

Siti Mardina Annas, 33, turut melahirkan rasa terima kasih dan terharu kepada kerajaan kerana tidak pernah mengabaikan nasib penduduk yang menjadi mangsa pencerobohan.

"Dengan adanya rumah baharu ini kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan kami tidak perlu bimbang tentang tempat tinggal kerana kerajaan telah membina rumah yang selesa," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana