Muhyiddin tidak perlu minta maaf pada keluarga Azizan, kata Mukhriz

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Mukriz Mahathir menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu memohon maaf kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Azizan Abdul Razak kerana didakwa menghina pemimpin PAS itu.

Beliau berkata kenyataan Muhyiddin dalam satu program sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau langsung tidak mengaitkan kematian Azizan akibat diabetes seperti mana yang didakwa.

Justeru katanya, desakan Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar agar Muhyiddin meminta maaf tidak wajar dilayan.

"Saya ingat itu satu sangkaan buruk oleh pihak Mahfuz yang dalam kempen pilihan raya kecil ini memang suka untuk membantai apa sahaja isu sekalipun untuk dipolitikkan dengan tujuan mengelirukan rakyat.

"...kerana saya sendiri hadir di majlis tersebut dan mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin dan jelas sekali tidak ada langsung untuk menyentuh soal Allahyarham ustaz Azizan cumanya beliau cakap mengenai Bajet 2014 yang dibentangkan perdana menteri.

"Di dalamnya (Bajet 2014) termasuk juga soal pemansuhan subsidi gula, kita tahu di negeri Kedah ini memang orangnya lebih kurang macam orang Kelantan juga banyak makan gula...Jadi itu sahaja yang dibangkitkan," katanya kepada Antarapos.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat telah mengumumkan penarikan balik subsidi gula berkuatkuasa Sabtu sempena pembentangan Bajet 2014.

Langkah itu menyaksikan gula naik 34 sen  menyebabkan barangan asas itu kini berharga adalah RM2.84 sen.

Kenyataan Muhyiddin tidak menyinggung sesiapa 

Dalam pada itu, Mukriz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah menambah, kenyataan dikeluarkan Muhyiddin tidak menghina atau menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk keluarga Azizan.

Justeru sebagai kenalan rapat, beliau akan memastikan tiada sesiapa yang memburukkan Azizan sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.

"Saya ingat ia bukan satu yang sepatutnya menyinggung mana-mana pihak kerana tidak ada langsung niat tak baik di sebaliknya kenyataan tersebut.

"Saya rasa keluarga Allahyarham pun tak kecewa mendengarnya dan saya sahabat karib kepada Allahyarham tidak akan membuat kenyataan yang melukakan hati keluargnya," katanya.

Semalam Mahfuz berkata Muhyiddin harus meminta maaf kepada ahli keluarga bekas Menteri Besar Kedah itu setelah mengaitkan kematian Azizan akibat diabetes untuk rakyat akur dengan tindakan kerajaan menaikkan harga gula.

"Ia merupakan satu kenyataan tidak beradab dan tidak berakhlak dari seorang Timbalan Perdana Menteri. Beliau begitu tergamak mengaitkan seorang yang telah tiada dan orang itu mempunyai hubungan rapat dengan penduduk selama lima penggal.

"Saya nak beritahu pada Muhyiddin itu bukan adab penduduk Sungai Limau cara percakapan beliau, seolah cuba untuk memburukkan Allahyarham kononnya tidak menjaga kesihatan sehingga memudaratkan.

"Kita mahu dia (Muhyiddin) tarik balik kenyataan dan minta maaf pada balu arwah, keluarga dan juga seluruh pengundi Sungai Limau," katanya Mahfuz.

DUN Sungai Limau berdepan pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 November ini ekoran kematian Azizan pada 26 September lalu  akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir Azizan terpaksa memotong kedua-dua kakinya akibat komplikasi kencing manis.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana