KALIMAH ALLAH - KRISTIAN BERANI KERANA MENDAPAT SOKONGAN ANWAR DAN PARTI PAS.....

Majalah mingguan Katolik, The Herald, dilarang oleh Mahkamah Rayuan pada pagi Isnin, 14 Oktober daripada menggunakan kalimah Allah untuk membawa maksud Tuhan dalam penerbitannya.

Seharusnya kemelut isu kalimah Allah ini selesai.

Namun editor majalah berkenaan, Paderi Lawrence Andrew yang menzahirkan rasa kecewa akan keputusan itu berkata, pihaknya merancang untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Ini bermakna bahawa isu ini mungkin belum muktamad.

Jika tindakan itu diambil, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewakili kerajaan perlu “turun padang” sekali lagi untuk menghadapi pusingan perbicaraan baru.

Lantas, pihak yang bersujud syukur di luar perkarangan Mahkamah atas keputusan Mahkamah Rayuan pagi Isnin 14 Oktober perlu insaf bahawa Allah baru memberi “separuh kemenangan” pada perjuangan mereka yang berpaksikan keyakinan Allah tidak boleh disalahanggap sebagai mempunyai ciri-ciri Tuhan Kristian – Tuhan, anak Tuhan dan Ruhul Kudus!

Mahkamah Tinggi tersilap, kata hakim

Hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi Ali, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Aziz Abdul Rahim dan Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi silap apabila membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengeluarkan perintah larangan berkenaan.

“Pengamatan kami ialah kalimah Allah bukanlah sebahagian teras kepercayaan dan amalan agama Kristian.

“Berdasarkan hakikat ini kami tidak nampak sebab mengapa pihak responden (Ketua Uskup Gereja Katolik) bertegas mahu menggunakan istilah Allah dalam penerbitan mingguan mereka.

“Jika penggunaan ini diizinkan ia akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” kata Hakim Apandi Ali ketika membacakan ringkasan keputusan mereka.

Turut hadir di mahkamah ialah setiausaha agung Majlis Gereja Malaysia, Hermen Shastri, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa dan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Nordin.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lau Bee Lan memutuskan bahawa perintah KDN mengharamkan kalimah Allah di dalam penerbitan Kristian adalah bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 10 September tahun ini, KDN dan kerajaan Malaysia mengemukakan hujah kepada kepada Mahkamah Rayuan mengapa keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak wajar.

Jika pihak gereja Katolik meneruskan rancangan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan ini bermakna ia masih mempunyai alasan dan bukti bahawa kalimah Allah memang sebahagian teras kepercayaan mereka.

Sepanjang isu ini tercetus bukan sahaja pihak yang menuntut (gereja) sahaja yang tegas mahu larangan penggunaan kalimah Allah dibatalkan, malah pejuang kebebasan hak asasi manusia dan parti-parti politik juga mahu kerajaan berundur daripada pendiriannya.

Pembangkang dakwa pihak pertahan ‘Allah’ buta sejarah

PKR bersikap liberal dalam isu ini. Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa pihak yang mahu melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian tidak faham sejarah.

Bahasa Arab dan kalimah Allah sudah lama digunakan oleh orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan, hujah beliau.

Bagaimanapun dalam PAS ada pendapat yang berbelah bahagi. Majlis syura ulama tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan Kristian.

Namun pemimpin lain, termasuk presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berpendirian penggunaan kalimah suci itu boleh diizinkan dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Kini Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa tiada alasan tuntas untuk menunjukkan kalimah Allah ini adalah antara isu teras dalam kepercayaan agama orang Kristian. Maka tiada sebab untuk mengizinkan ia digunakan oleh penganut Kristian di negara ini.

Namun paling penting bagi sidang Hakim ialah, keizinan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian akan menimbulkan kekeliruan.

PAS dan PKR akan pertahan ‘Allah’ jika utamakan usul fiqh

Dapat dibayangkan apa yang dimaksudkan oleh para hakim berkenaan ialah keputusan yang menyebelahi pihak Kristian bakal mengundang musibah keretakan perhubungan kaum dan agama yang serius.

Dalam Islam pun ada kaedah usul fiqh yang menetapkan supaya dalam membuat pilihan di antara dua keburukan, pilihlah yang lebih besar mudaratnya.

Isu ini memang menginsafkan betapa pentingnya soal agama tidak ditunggangi untuk dijadikan modal politik. Jika PKR dan PAS mengutamakan kaedah usul fiqh sudah tentu mereka memilih untuk menyokong keputusan kerajaan sejak awal lagi.

Namun demi mengaut keuntungan politik, masa depan negara, agama dan bangsa sanggup diperjudikan. Seharusnya tindakan lebih wajar ialah menasihati pihak gereja bahawa demi masa depan perhubungan kaum, dan agama serta memelihara kesejahteraan negara, isu ini usah diperpanjangkan.

Usahlah menjadi batu api yang boleh memercikkan pertentangan sengit di kalangan kaum dan agama di bumi Malaysia ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana