Fathul Bari: Umno serius pacu pembangunan dengan syiar Islam

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda Umno dengan undi tertinggi, Fathul Bari Mat Jahaya melihat pemilihannya sebagai bukti jelas Umno serius dalam memberi ruang dan suara kepada ulama demi memastikan syiar Islam memacu pembangunan negara.

Penasihat Eksekutif Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (ILMU) itu berharap golongan ulama di luar Umno berhenti menghentam parti itu,  sebaliknya  memberikan pandangan dalam hal ehwal agama Islam.

" Umno sangat relevan untuk agamawan di mana ia mempunyai tempat dan ruang kepada agamawan... jadi saya kira peluang yang sangat baik untuk agamawan di mana saya akan menjemput mereka untuk bersama memberi pendapat dan pandangan bagi memastikan kelestarian perjuangan ini,' kata beliau.

"Jadi kita sudah ada satu platform yang diberikan melalui saya, sekarang ini jangan asyik duduk di luar dan 'condemn(mengutuk), condemn, condemn' tetapi sekarang mari bersama saya,  kita bawa pendapat  kita ke pihak atasan," tambah Fathul.

"Sekarang bukti yang pertama Umno memberi ruang kepada agamawan dan kedua ruang ini bukan sekadar cukupkan korum tapi Umno perlu buktikan bahawa peranan agamawan tetap ada dalam memartabatkan agama dan negara," katanya kepada Antarapos.

Daripada 77 calon yang bertanding untuk jawatan Exco Pemuda, Fathul Bari mendapat sokongan padu daripada perwakilan untuk undian tertinggi.

Golongan ulama dan profesional perlu berkolobarasi

Fathul Bari berkata barisan Pemuda Umno perlu kembali kepada janji dan ikrar perjuangan parti serta konsisten dalam memartabakan Islam di dalam parti itu.

 Beliau menegaskan  majoriti besar pemimpin utama UMNO menerima baik golongan ulama selain mahukan turut  peranan individu berlatarbelakang agama diketengahkan.

"Saya kira penerimaan mereka terhadap agamawan alhamdulillah hatta ramai pemimpin di peringkat pusat seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Kedah Datuk Mukriz Mahathir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan seluruhnya menerima orang-orang agama.

"Mereka serius untuk mengangkat agamawan termasuk Datuk Razali Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau)...jadi saya kira mereka ini memperjuangkan supaya peranan agamawan diketengahkan," katanya.

Tambah tokoh muda ini, walaupun barisan kepimpinan Pemuda Umno didominasi golongan profesional namun ia tidak akan menjadi penghalang untuk beliau bersuara dan memberikan pendapat.

"Saya nyatakan di sini masing-masing ada peranan, kita tidak mengharapkan semua barisan kepimpinan diisi oleh agamawan kerana sekarang kita perlukan gandingan dan keseimbangan.

"Mereka ada pendirian serta gerakan mereka, saya pun ada pandangan dan pendirian...yang pastinya setiap tindakan itu didokongi oleh agama Islam dan itu yang menjadi indikator perjuangan," katanya.

Penyertaan golongan ulama masih diperlukan dalam Umno

Menurut Fathul Bari, penyertaan golongan ulama dalam Umno masih diperlukan bagi memenuhi hasrat pentadbiran Putrajaya yang berteraskan tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.

"Apabila Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) sendiri mengumumkan kepentingan mewujudkan indikator syariah maka saya kira ia sangat luas cakupannya merangkumi kepentingan ekonomi, sosial, politik, pembangunan insan, pembangunan negara dan semuanya adalah indikator syariah.

"Jadi jangan disempitkan dan dijumudkan indikator syariah dengan hanya tafsirannya kepada hal ehwal di masjid tapi diluaskan pandangan serta cakupannya," katanya.

Sebelum ini Najib berkata perjuangan kerajaan pusat masa kini adalah berteraskan tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.

Beliau berkata antara dasar Maqasid Al-Shariah yang diamalkan kerajaan ialah memelihara dan memperkasakan Islam namun pada masa sama, ia memelihara jiwa dan menghormati hak asasi manusia baik untuk Muslim dan juga bukan Muslim.

Najib memperjelaskan bahawa dasar transformasi negara menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah berpaksikan kepada  Maqasid Al-Shariah.

"Memelihara akaun, memelihara kehormatan dan keturunan dan memelihara harta dengan memperkasakan ekonomi, ini adalah prinsip Maqasid Shariah," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana