Bantuan Kepada Mangsa Tembakan Bukti Keprihatinan Kerajaan Perak


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya akan memastikan segala bentuk bantuan dihulurkan kepada mangsa tembakan, Mohd Amar Mohd Azizi yang parah di bahagian leher akibat terkena tembakan, petang Rabu lalu.

“Kita akan beri segala bentuk bantuan, bukan sahaja dari segi kewangan malah sokongan moral juga bagi memastikan Mohd Amar selamat dan dapat menjalani hidup seperti biasa.

“Pakar yang mengendalikan kes Mohd Amar juga sedang bertungkus-lumus untuk memastikan keadaannya kembali pulih. Jadi, kita doakan yang terbaik untuknya,” jelas Zambry kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.


Turut hadir, Pengarah HRPB, Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin dan Timbalan Pengarah Teknikal, Dr Ch’ng May Lee.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak hospital kerana menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan kes Mohd Amar dapat dikendalikan dengan cara terbaik.

“Bagi saya, pasukan ini merupakan yang terbaik kerana mereka memberi perhatian terhadap keadaan mangsa yang mana peluru masih lagi tersekat di bahagian kerongkong.

“Apa yang berlaku kepada mangsa merupakan satu perkara yang sangat ajaib kerana dalam tembakan sebegitu, Mohd Amar masih lagi terselamat,” ujar Zambry.

Sementara itu, Dr Raja Lope Ahmad memberitahu pembedahan bagi mengeluarkan peluru di kerongkong mangsa akan dijalankan dalam tempoh tiga hari lagi.

Beliau menjelaskan pihaknya juga akan meminta pandangan pakar dari seluruh negeri bagi mengenalpasti kaedah terbaik untuk menyelesaikan kes itu.

“Kami akan senaraikan semua pilihan yang ada bagi memastikan mangsa terus berada dalam keadaan stabil, sekaligus mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Dr Raja Lope Ahmad juga berharap agar pembedahan itu dapat dilakukan di HRPB.

Rabu lalu, satu kejadian tembakan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu sedang mengosongkan senjata di tangga rumah mertuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit.

Anggota berkenaan kemudian secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan yang terkena mangsa, Mohd Amar yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Belanja yang kebetulan berada di atas jalan iaitu kira-kira 30 hingga 40 meter dari suspek.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana