Pelik Lah Dengan Nik Aziz Ni....Mempertahan kerjasama PAS dengan PKR dan DAP

Murshidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahan keputusan PAS bersekongkol dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat sebagai bukanlah sesuatu yang silap.
Sebaliknya mantan MB Kelantan itu melihat keputusan PAS menjalin hubungan dengan kedua-dua parti ini “lebih membawa PAS kehadapan pentas politik di Malaysia.”
“Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,”katanya dalam entri terbaru FBnya..
Beliau mengulas keputusan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib dalam Multaqa Ulama di Kota Sarang Semut, Alor Setar Sabtu, meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat khusus dengan PKR.
Kenyataan terbuka Harun membuka pintu debat sehingga tiga tokoh utama PAS terpanggil membuat ulasan seolah-olah mempertahankan keputusan bersekongkol dengan DAP dan PKR sambil menyalahkan dasar UMNO.
Untuk rekod Nik Aziz tidak hadir di multaqa itu walaupun hati kecilnya begitu menginginkan untuk turut sama dalam majlis berkenaan. Nik Aziz tidak dapat hadir program di Alor Setar itu kerana tidak sihat.
“Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu.
“Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam,” katanya.
Walaupun penjelasan Nik Aziz dibuat beberapa jam selepas kenyataan Harun dikutip dan disiarkan media, dua lagi tokoh PAS iaitu Presiden PAS Haji Hadi Awang dan Ketua Penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat terpanggil mengulas.Hadi melalui sidang media manakala Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan bertulis.
Bagi Haji Hadi walaupun tidak menyindir secara direct kenyataan Ketua Dewan Ulama, beliau menjelaskan dengan mempertahankan dasar PAS yang mana beliau tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Mengenai resolusi Multaqa  mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula Haji Hadi berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam PR.
Tuan Ibrahim menyusul komennya mempertahankan kerjasama dalam PR malah menegaskan “komitmen kita untuk memperkukuhkan PR dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.”


Beliau berkata “segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan. PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak.
“PAS melihat resolusi dari Dewan Ulamak hasil Multaqa Ulamak sebagai sesuatu yang menepati demokrasi dalam PAS, kerana Dewan Ulamak sebagai sayap penting parti sewajarnya membuat rumusan bagi pihak dewan yang diwakili.

“PAS Pusat pasti akan meneliti dan mengkaji setiap resolusi yang dicapai di Multaqa tersebut, memandangkan ia adalah satu rumusan dari suatu himpunan Dewan yang utama di dalam PAS. Kita yakin resolusi tersebut mempunyai asas untuk dinilai dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa kerja PAS Pusat”katanya.

Ketua Penerangan PAS itu berkata “cadangan bagi Majlis Syura dan PAS Pusat untuk menyemak hubungan dan Tahaluf Siyasi dengan rakan PR bukan bermakna memutuskan hubungan dengan PR. Ia adalah dua isu berbeza.

“Semakan agar perjalanan tahaluf selaras dengan tuntutan syarak sebagaimana resolusi yang dikemukakan ialah sesuatu yang sihat dan bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan polemik.

“Oleh kerana dasar PAS ialah Islam, maka gesaan untuk semakan, kajian dan penelitian dewan Ulamak adalah sangat dialu-alukan.

“Sehubungan itu, PAS Pusat berharap Dewan Ulamak dapat mengemukakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka itu.

“Oleh itu, resolusi yang dicapai di Multaqa Ulamak yang menggesa Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat menyemak kembali Tahaluf Siyasi bersama dengan Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang pelik.

“Ia ibarat peringatan agar kita sentiasa berada di atas peraturan yang betul di sepanjang lebuhraya.  Pelbagai peringatan had laju dikeluarkan, bukanlah kerana kita memandu laju, tetapi peringatan agar jangan memandu melebihi had laju. Namun, kalau ada orang yang marah kepada peringatan tersebut, tentulah ia sesuatu yang pelik.

“Berhubung dengan cadangan Dewan Ulamak supaya jawatan tertinggi parti daripada ulamak, sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulamak itu,”katanya.

Berikut kenyataan penuh Nik Aziz seperti terdapat dalam entri FBnya:
“Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.
Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan”.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana