Ops Cantas catat rampasan senjata terbesar

ALOR SETAR: Ops Cantas Khas di Padang Terap di sini, semalam membuat penemuan mengejutkan membabitkan rampasan tujuh raifal termasuk tiga AK-47 Kalashnikov buatan Russia, bahan letupan, 11 kelopak peluru serta dua tong berisi peluru hidup.

Rampasan dibuat dalam serbuan polis di sebuah rumah kosong di Batu 27 Jalan Naka-Nami, bersebelahan sebuah kedai makan, pada jam 5 pagi semalam.

Dua lelaki termasuk seorang dipercayai pemilik kedai itu, ditahan dan polis masih menjejak beberapa orang lagi bagi membantu siasatan.

Ia adalah rampasan senjata api terbesar sejak Ops Cantas dilancarkan di seluruh negara 17 Ogos lalu dalam usaha mencegah jenayah berat.

Bagaimanapun, polis menolak sebarang kemungkinan kumpulan itu mempunyai kaitan dengan gerakan militan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati senjata itu mungkin dibawa masuk dari negara jiran tetapi motif ia disimpan dan dikumpulkan di rumah berkenaan masih lagi disiasat.

Kita hanya buat serbuan berdasarkan maklumat sebelum menemui semua senjata terbabit. Buat masa ini kita juga sedang mengesan beberapa lagi suspek berkaitan kes ini untuk tindakan lanjut.

Dua lelaki yang ditangkap akan direman mulai esok (hari ini), katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini, semalam.

Serbuan pada waktu subuh itu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sebuah rumah setingkat separa kayu dan menemui sejumlah senjata api disimpan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Rampasan membabitkan tiga laras raifal jenis M4 Colt 5.56 kaliber, tiga raifal jenis AK-47 Kalashnikov 7.62 kaliber, selaras senapang buatan sendiri, 11 kelopak peluru dan dua tong 4 liter berisi peluru hidup.

Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga pemilik kedai makan berkenaan ketika serbuan itu manakala seorang lagi lelaki berusia 53 tahun ditangkap di Kuala Kedah, kira-kira jam 1 tengah hari semalam berkaitan kumpulan kongsi gelap.

Ahmad berkata, polis percaya akan dapat menahan beberapa lagi suspek dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata polis tetap menyiasat dari segala sudut walaupun tiada maklumat berkaitan militan.

Tiada maklumat seperti itu (militan) setakat ini, ia adalah Ops Cantas Khas dan kita masih siasat untuk tindakan lanjut, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun serta enam sebatan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana