DIMANAKAH SIKAP TAWADUK PEMIMPIN PAS SELANGOR.....

Di segi teorinya jika PAS boleh bekerjasama dengan Umno dalam soal politik, kedudukan orang Islam dan Melayu di negara pasti akan lebih kukuh. Malah setelah melalui dua pilihanraya umum yang sengit pada 2008 dan 2013, ramai yang mengidamkan ia menjadi kenyataan.

Impian ini memutikkan harapan apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal minggu ini menegaskan bahawa Umno sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan PAS jika itu bermanfaat kepada umat Islam-Melayu.

Rabu lalu, pimpinan Pakatan Rakyat pula bermesyuarat agak panjang lebar untuk membincangkan bagaimana mahu mewujudkan perpaduan nasional yang lebih utuh.

Sungguhpun inisiatif Pakatan Rakyat ini bukan sebagai reaksi langsung pada kenyataan Muhyiddin itu, ia membayangkan ada bibit keikhlasan Pakatan Rakyat kepada usaha mencari perpaduan.

Ini kerana sehari sebelum sambutan Kemerdekaan Negara kali ke-56, kapitan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat kenyataan bahawa demi “menyelamatkan Malaysia” pakatannya bersedia berdialog dengan kerajaan Barisan Nasional.

Mungkin perbincangan kelmarin lalu itu adalah langkah lanjutan dan satu usaha mencari penghuraian bagaimana merealisasikan kenyataan Anwar pada 30 Ogos lalu itu.

Namun yang menyedihkan ialah pemimpin-pemimpin PAS Selangor meremehkan sahaja kemungkinan bukan sahaja kerjasama dengan Umno tetapi berdialog pun bagi mereka adalah tidak bermanfaat.

"Pengalaman kita, kalau Umno menghulur tangan dia untuk baik dengan kita maknanya dia dah nak tenggelam, nak lemas dan nak capai apa sahaja, maknanya mereka tengah ada krisis nak hancur dan ini pengalaman yang mengajar kita," kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman pada sidang medianya di pejabat khidmat Parlimen Shah Alam, pagi semalam.

Rani mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehari sebelum itu bahawa Umno sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan PAS.

Seorang lagi pemimpin PAS Selangor iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Kelang, Shaari Sungib turut berkongsi pandangan Rani dengan menokok:

"Selagi Umno itu Umno, tak akan ada kerjasama, ada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, dan selagi ada langit, matahari dan bulan, selagi itu tidak akan ada ruang untuk PAS bekerjasama dengan Umno," katanya.

Dua profesional yang mengaku berjuang atas landasan Islam ini mungkin lupa pada ibrah daripada peristiwa Perang Siffin yang menyaksikan pertumpahan darah sesama umat Islam pada 657 Masihi di antara Saidina Ali karamallahu wajha dengan Muawiyah, gabenor Syria.

Isunya politik. Muawiyah menuntut supaya Ali menyiasat, menangkap dan menghukum pembunuh Saidina Usman r.a. Saidina Ali ketika itu baru sahaja dilantik oleh ulama dan sahabat di Madinah untuk menjadi Khalifah menggantikan Saidina Usman.

Apapun alasan Muawiyah, pemerhati politik tahu itu adalah hanya alasan untuk menegakkan pegangan politiknya sahaja. Maka berlaku pertempuran di Siffin, Syria. Berpuluh ribu ummat Islam dari kedua-dua belah pihak terbunuh.

Ketika angkatan Saidina Ali kelihatan akan menang, panglima-panglima Muawiyah mengarahkan supaya mushaf Al Quran digantung pada tombak tenteranya. Mesejnya, mari kembali pada al Quran.

Meskipun di ambang kemenangan, Saidina Ali menerima inisiatif itu dengan baik “demi menyelamatkan umat” dari menumpahkan lebih banyak darah.

Baginda sedia berunding dan berpesan pada jurucakapnya Abu Musa Al Ashaari bahawa semangat perundingan itu ialah mendahulukan ummah.

Wakil Muawiyah, Amr al Aas mengesyorkan cara penyelesaian terbaik ialah bagi Muawiyah dan Ali menarik diri dari menjadi khalifah dan pulangkan hak memilih pemimpin pada rakyat. Kedua-dua pihak bersetuju.

Amr al Aas mempersilakan Abu Musa untuk mengumumkan persetujuan itu. Dengan girang beliau mengisytiharkan mandat yang dibawa daripada Saidina Ali ialah bahawa baginda bersedia berundur dari menjadi khalifah jika itu boleh membantu menyatupadukan umat.

Apabila tiba giliran Amr al Aas berucap beliau menyatakan syukur bahawa Saidina Ali bersedia mengundur diri dan beliaupun mengisytiharkan kesediaan Muawiyah untuk menjawat tanggungjawab Khalifah.

Namakanlah ia sebagai penipuan atau pengkhianatan namun Saidina Ali tidak pula memberontak dan bertindak balas menyusun askar untuk menggulingkan Muawiyah. Perbalahan harus ada sempadan dan hadnya.

Yang perlu diperhatikan daripada kisah ini ialah Ali ibn Abu Talib seorang daripada 10 sahabat Rasulullah s.a.w. yang dijanjikan syurga, adalah sepupu dan juga menantu baginda. Kemuliaannya diperakui dengan mengiringi pujian dan doa setiap kali namanya disebut dengan ungkapan karamallahu wajha (wajah yang hanya menyembah Allah).

Sudah pasti Ali bukan naif tentang politik. Namun dendam, benci dan ego bukanlah jatidirinya. Jika kebijaksanaan politik Amr al Aas dapat mengelakkan pertumpahan darah umat, itu adalah rahmat daripada “tahaluf siyasi” di antara beliau dan Muawiyah.

Justeru siapalah Dr Rani Osman dan Saari Sungib dibandingkan dengan kepemimpinan dan firasat tinggi Saidina Ali?

Bagi kedua-dua pemimpin PAS Selangor ini, kemenangan mendapat 15 kerusi DUN negeri seolah-olah telah melonjakkan maqam yang tinggi bagi mereka.

Mereka mungkin alpa dalam PRU ke-13 juga PAS kehilangan kuasa di Kedah. Sebabnya? Pergeseran di kalangan pemimpin PAS negeri itu.

Bukankah perbalahan politik sebegini juga itu satu kesilapan dan mungkin juga satu dosa?

Pengajarannya ialah PAS bukan parti maksum. Umno juga parti yang berdosa. Jika Rani dan Saari percaya pada sifat Pengampun dan Pengasih Allah s.w.t. tentu mereka menaruh keyakinan kesilapan kerana berbalah di kalangan pemimpin PAS Kedah akan diampunkan Allah jika mereka bertaubat.

Apakah mereka lebih mengetahui bahawa tidak mungkin taubat Umno (jika ia tahu bertaubat) diterima Allah? Ini takbur namanya. Atau, adakah ini akibat pengaruh kuasa?

Di segi lain, tidakkah kedua-dua pemimpin PAS ini memikirkan bahawa dalam PRU lalu mereka telah membantu 19 Adun (15 DAP dan 4 PKR) yang bukan muslim untuk memimpin negeri Selangor.

Sebaliknya jika mereka membuka hati dan menyusur ruh Islam sebenarnya, mereka boleh sahaja menubuhkan kerajaan (15 PAS, 12 Umno dan 10 muslim PKR) atau 37 pemimpin Islam untuk bekerjasama dengan 19 pemimpin non-muslim bagi mentadbir Selangor. Islam didahulukan.

Taatlah pada pemimpin. Ketika pemimpin pusat PAS masih memikirkan strategi kerjasama nasional, pemimpin PAS di Selangor menunjukkan keangkuhan bahawa mereka adalah barisan suci dan Umno tidak mungkin diampuni.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana