Dewan Ulama bukan suara pemikiran politik arus perdana PAS

Multaqa Ulama PAS yang berlangsung di Kedah Sabtu lalu menonjolkan dua kerisauan Dewan Ulama parti itu. Pertama, Dewan berkenaan bimbang PAS bukan lagi parti dominan dalam Pakatan Rakyat.

Ini dapat dilihat daripada sokongan yang diberikan kepada PAS oleh rakyat, khususnya pengundi Melayu, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu di mana PAS mengutip bilangan kerusi Parlimen tercorot di kalangan kerabat Pakatan itu. PAS juga kehilangan Kedah.

PAS menang 21 kerusi berbanding PKR (30) dan DAP (38). Ini sekaligus meranapkan misi PRU ke-13 PAS untuk “PAS Ganti Umno”. Ini juga bermakna kuasa berunding PAS dalam Pakatan semakin merosot.

Kedua, Dewan Ulama mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaksanaan konsep tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Haron Taib mendedahkan pandangan demikian kepada multaqa bahawa kemerosotan sokongan Melayu untuk  PAS pada PRU-13 “memustahilkan" PAS  terus berkembang dan mencapai matlamat  mendirikan sebuah negara berlandaskan Islam tanpa penilaian semula kerjasama dengan PKR dan DAP mengikut konsep Tahaluf Siyasi.

Haron berkata, "sikap toleransi berlebihan dan tidak berhati-hati oleh PAS" dalam meraih sokongan bukan Melayu terhadap parti dan Pakatan Rakyat akhirnya mengurangkan keyakinan pengundi Melayu kepada komitmen PAS memelihara kepentingan mereka.

"Keputusan PRU yang lalu menunjukkan dan membuktikan bahawa PAS gagal meyakinkan pengundi Melayu bahawa ia mampu memainkan peranan penting dan berkesan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan Islam termasuklah dalam urusan pelaksanaan syariat Islam di Malaysia," jelasnya.

Berikutan itu, Haron juga membuat beberapa syor bagaimana masalah ini dapat diatasi dan tidak membarah dalam perjuangan PAS.

"Saya mengharapkan agar PAS Pusat segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali Tahaluf Siyasi terutamanya dengan PKR sejauh mana ia menguntungkan PAS.

"Manakala di pihak Majlis Syura Ulama pula, hendaklah meneliti kembali Tahaluf Siyasi bersama PKR dikaji semula setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam Tahaluf Siyasi," kata beliau dalam ucaptamanya itu.  

Jika cadangan Haron ini digunapakai oleh Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat PAS, ia pasti merombak struktur hubungan kerjasama tiga parti berkenaan di dalam Pakatan Rakyat yang ditubuhkan sejurus sebelum PRU tahun 2008.

Yang menariknya, pandangan Haron tidaklah segera marak. Malah pimpinan PAS yang lain, terutama Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awamg mengambil pendirian yang lebih berhati-hati.

Bagi Hadi soal mengkaji semula pemakaian konsep tahaluf siyasi itu baik, namun beliau menegaskan bahawa soal PAS meninggalkan Pakatan Rakyat tidak timbul di peringkat ini.

Maka syor Dewan Ulama itu mencabang pula kepada pelan tindakan jangka panjang dan pendek. Yang terdekat ialah Dewan Ulama mahu memastikan bahawa suara ulama lebih dominan dalam parti. Ini termasuklah usaha untuk mengatur supaya presiden dan Timbalannya dipilih dari kalangan ulama.

Sekali lagi Hadi menepis tuntutan itu dengan membuat penegasan bahawa perkara itu biarlah ditentukan oleh perwakilan dalam Muktamar PAS November ini.

Sebelum itu, dalam memperbetulkan laporan bahawa beliau dikatakan mahu ulama mengisi jawatan Timbalan Presiden, Mursyidul Am PAS, Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba memadamkan isu itu dengan membuat kenyataan umum bahawa dalam PAS semua adalah ulama.

Sekaligus sikap Hadi dan pendirian Haron ini menyerlahkan bahawa memang kumpulan ulama PAS masih tidak selesa dengan hubungan berdasarkan konsep tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

Namun yang jelasnya ialah, memang ada kengerian di kalangan ulama PAS bahawa jika kompromi politik dalam Pakatan Rakyat ini berterusan, pandangan ulama akan terus terpinggir.

Satu dalil yang nyata ialah, tanpa pimpinan ulama di Selangor pun PAS berjaya menggandakan kemenangannya. Akan tetapi meskipun dibimbing oleh ulama di Kedah, PAS hilang kuasa memerintah di negeri itu.

Hingga kini nampaknya suara Dewan Ulama bukanlah suara mutlak mewakili pemikiran politik PAS. Arus perdana pemikiran politik PAS masih berpijak kepada realiti politik hari ini – gandingan profesional muslim dan ulama.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana