Bagusnya...85 peratus tonton Tanda Putera untuk cari salah - Shuhaimi Baba

Benarkah ada adegan dalam filem Tanda Putera yang nampak jelas kereta Proton,kompresor penghawa dingin dan kamera CCTV? Waktu saya mendengar komen,dalam hati saya terdetik, mustahil sebab ia bukan kerja pengarah hingusan. Ini kerja tangan pengarah tersohor.

Takkan Datuk Shuhaimi Baba sebodoh itu. Sedangkan syarikatnya, Pesona Pictures adalah syarikat yang terbilang sebagai syarikat penerbit filem yang disegani.

Lalu apabila berkesempatan berbual dengan beliau yang saya panggil, Shumi, itulah antara yang saya tanyakan dulu. Betul ke ada nampak benda-benda tu dalam filem you?

Pengarah asal Negeri Sembilan ini yang bukan asing dalam industri filem tanahair menjawab dengan tenang. Terus terang saya beritahu beliau, saya sendiri belum tonton, tapi itu, tuduhan ada nampak cctv dan sebagainya adalah komen yang sampai ke telinga.

"Jika orang yang bercakap itu sudah menonton, saya percaya dia takkan komen begitu. Kami ada keluarkan gambar-gambar yang diambil sebelum produksi bermula, iaitu footage yang diambil sewaktu research. Ia dimasukkan dalam laman facebook

Tanda Putera di mana ada kelihatan kompresor penghawa dingin, cctv dan kereta Aeoroback.

"Ia adalah untuk menunjukkan betapa sukarnya membuat sebuah filem sejarah silam pada masa kini. Saya percaya komen yang dibuat adalah berdasarkan gambar-gambar yang dimuatkan dalam facebook sedangkan dalam filem semua itu kami tiadakan.

"Kita pakai special efek itu tiadakan elemen moden termasuklah menggunakan ekef khas juga untuk wujudkan bangunan-bangunan lama yang sudah tiada," kata Shumi,Menurutnya, menghasilkan filem sejarah seperti Tanda Putera dalam zaman yang serba membangun seperti hari ini meruapakan cabaran besar bagi team produksinya.

Selain menghilangkan kesan moden, mereka terpaksa 'adakan yang sudah tiada" seperti rumah Tun Dr Ismail.

"Ketika research dibuat rumah itu masih ada dan kami sempat merakamkan dalam gambar. Malangnya tiga bulan sebelum kami bersiap untuk penggambaran, rumah itu telah dirobohkan dan kami terpaksa menggunakan teknik efek khas, cgi, untuk mencipta rumah tersebut dengan kolam mandi. Ia penting kerana tempat itu dijadikan klinik rahsia di mana Tun Razak menerima rawatan secara rahsia dari Dr Macpherson," jelasnya.Tanda Putera adalah filem sejarah kedua hasil arahannya selepas Hati Malaya 1957.

Filem yang mendapat geran Finas ini bukan saja melibatkan kos bahkan masa yang panjang. Kerja penyelidikan dan dokumentasi saja mengambil masa setahun; di mana melibatkan dua team petugas Satu untuk kerja-kerja penyelidikan dan dokumentasi di dalam negara dan satu lagi team petugas di London. Ia membabitkan banyak pembacaan buku sampai ke notanota kaki pun diambil kira. Tidak termasuk juga dokumentasi secara temubual dengan orang perseorangan, terutama individu-individu yang pernah rapat dan bekerja dengan Tun.

Antaranya, drebar Tun serta kakitangan dan pegawai-pegawai rendah yang masih hidup telah ditemui. Kos penyelidikan saja mencecah RM600,000.

Banyak perkara yang perlu diberi perhatian rapi dalam menghasilkan filem sejarah.

"Pada mulanya sasaran saya adalah untuk penonton muda. Filem ini untuk membawa mereka dalam satu perjalanan; ia umpama pengalaman menaiki bas, bagaimana kita boleh sampai ke destinasi hari ini.

" Itu yang mahu saya berikan kepada orang muda kita dan perjalanan itu seharusnya kita ingat dan kenang supaya dapat sama-sama merasai dan menghargai tanahair ini," tambahnya.

Dan, apabila ditanya sama ada  beliau cukup puas hati dengan hasil filemnya, Shumi menjawab, "Saya rasa tidak ada pengarah yang akan kata dia puas hati dengan kerjanya sebab itu yang saya rasa. Tapi saya boleh katakan, menghasilkan Tanda Putera bukan kerja senang, bukan macam buat filem-filem lain.

"Tapi yang bagusnya adalah 85 peratus yang menonton yang masuk panggung untuk cari salah, dan yang tak pernah tonton filem Melayu, sukakannya. Bahkan penonton bukan Melayu pun suka," katanya.

Mengenai tuduhan dan dakwaan pihak pembangkang, terutama Lim Kit Siang yang beliau berbohong dalam filem iu, Shuhaimi meminta agar Kit Siang menonton filem itu.

"Pokoknya saya tak tahu apa yang beliau maksudkan pembohongan. Mana satu yang bohong, mana yang tak betul. Sebab itu kepada orang seperti ini dan mereka yang membuat komen negatif melalu, silalah tonton. Beritahu saya mana yang mereka tak setuju.

"Bawalah pakar sejarah, saya sedia kerana Dr Ramlah Adam pun sudah menyaksikan filem ini. Kalau saya salah, boleh tunjuk di mana," katanya.

Mengakui pengharaman penayangan filem itu di Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu telah menjejaskan filem itu dipawagam di seluruh negara kerana ramai yang mengganggap turut diharamkan di pawagam lain, Shuhaimi ketika ini bergerak dengan mengadakan tayangan khas secara persendirian, terutama bagi mereka yang tidak mahu ke panggung.

Ketika temubual ini dibuat, Rabu, beliau berada di Sabah dan selepas ini ke negeri negeri lain seperti Pahang, Kedah dan Pulau Pinang secara 'private screening".

Umum mengetahui filem Tanda Putera sebetulnya siap untuk tayangan pada 13 Sept 2012, telah mengambil masa setahun sebelum dibenarkan tayangannya pada barubaru ini.

Apakah Datuk Paduka Shuhaimi serik untuk buat filem Sejarah seumpama ini dan kembali ke lubuk filem glamour dan seram seperti yang lain?

"Serik, mungkin juga kerana cabarannya sangat besar. Apapun saya harap dan yakin kita mesti terus tampilkan filem sejarah, sekurang-kurangnya tiga atau empat filem dalam setahun," katanya.

Shuhaimi menyarankan agar pihak lain juga memikul tanggungjawab menghasilkan filem sejarah dan tidak hanya bergantung pada Finas saja.

"Kita kena konsisten buat filem patriotik, dan tidak bolehlah seorang saja yang buat filem sejarah. Setiap orang dan setiap pihak mesti mainkan peranan, tidak boleh harapkan Finas saja. Setiap negeri ada sejarah tersendiri dan sudah sewajarnya pihakKerajaan Negeri menghasilkan filem sejarah masing-masing," .

"Jika tidak, kita akan hanya ditenggelamkan dengan filem gangster dan hantu. Apakah itu yang kita mahukan untuk negara dan masyarakat Malaysia?" ujarnya,

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana