Pemilihan UMNO tenggelamkan gelora muktamar PAS...

Bahang Perhimpunan Agung UMNO awal Disember ini menenggelamkan isu pemilihan pucuk pimpinan PAS pada Muktamar parti itu yang dijadualkan November ini.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini diadakan pada 22 hingga 24 November depan amat penting kerana akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Menjadi tumpuan adalah kedudukan lima tempat teratas yang bakal menentukan hala tuju PAS selepas pasca PRU 13 yang menyaksikan bilangan kerusi parlimen merosot manakala kerajaan PAS Kedah dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN).

Apatah lagi ramai pemimpin tersohor PAS kecundang termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa serta Salahudin Ayob.

Turut kecundang ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Mereka antara nama cukup popular dalam PAS dan pakatan pembangkang yang turut diwakili PKR serta DAP.

Dengan kecundangannya Mohamad atau Mat Sabu, Husam dan Salahuddin bermacam-macam spekulasi mula meniti bibir pemimpin dan ahli-ahli PAS menjelang Muktamar nanti.

Paling hangat khabarnya Husam yang tewas di kerusi Parlimen Putrajaya diuar-uarkan akan mencabar Datuk Seri Hadi Awang bagi kerusi Presiden PAS.

ADUN Salor, Kelantan itu dikatakan sudah tidak boleh melangkah ke belakang selepas namanya tidak tersenarai bagi mengekalkan jawatan Exco kerajaan negeri Kelantan.

Malah, beliau turut memboikot majlis angkat sumpat Exco.

Nasibnya semakin malang kerana Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tempat beliau bergantung harap bukan lagi Menteri Besar Kelantan yang boleh menyokong tindak tanduknya sebelum ini.

Sumber menjangkakan Husam cuba menongkah arus dengan mencabar Hadi kerana itulah sahaja peluang untuknya menunjukkan beliau masih diterima dalam PAS.

Namun, ada pula melihat tindakan Husam itu kerana mendapat ‘restu’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam saf PAS ketika ini ramai antara mereka lebih wala atau taat kepada Ketua Pembangkang tersebut.

Barangkali dengan mencaturkan Husam bertading sebagai Presiden, itu adalah cara terbaik bagi Anwar memastikan PAS terus mengikut telunjuknya.

Selain Husam, nasib Mat Sabu juga tidak menentu.

Beliau lebih banyak membisu selepas tewas kepada Datuk Othman Abdul di kerusi Parlimen Pendang pada PRU Mei lalu.

Baru-baru ini, Mat Sabu menjelaskan beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahan jawatan pemimpin nombor dua parti itu pada pemilihan November ini.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat keputusan tersebut selain mahu melihat perkembangan dalam kalangan anggota parti.

Pemimpin yang pernah dikaitkan dengan kes khawat dengan isteri orang bernama Normah pada 1995, perhimpunan Bersih juga sedang berdepan kes mahkamah dalam isu Bukit Kepong.

Beliau dalam ceramahnya mengeluarkan kenyataan kontroversi mendakwa ketua tentera Parti Komunis Malaya (PKM) Muhamad Indera semasa Peristiwa Bukit Kepong pada 1950 layak digelar ‘hero negara’.

Mat Sabu juga dikaitkan dengan fahaman Syiah ketika isu itu jadi perdebatan pihak agama baru-baru ini.

Namun, beliau enggan mengulas dakwaan itu.

Menariknya, walaupun tewas dan berdepan macam-macam masalah, Mat Sabu menegaskan akan terus bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Baginya, soal kedudukan dalam jawatan bergantung pada muktamar akan datang.

"Saya pun belum buat keputusan sama ada nak mempertahankan jawatan, tidak bertanding ataupun bertanding mana-mana jawatan...belum buat keputusan setakat ini," katanya kepada Antarapos.

Pada pemilihan dua tahun lalu, Mat Sabu dipilih sebagai timbalan presiden PAS dalam perebutan tiga penjuru.

Mohamad meraih 420 undi bagi mengalahkan dua calon ulama - iaitu penyandangnya, Nasharudin Mat Isa (224 Undi) dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399 Undi).

Dalaman PAS menjangkakan Mat Sabu akan mempertahankan jawatan timbalan dan mungkin memberikan sokongan kepada Husam.

Setakat ini, antara disebut-sebut akan mencabar jawatan itu adalah Tuan Ibrahim.

Dalam pada itu Mahfuz dan Salahuddin sudah pasti akan mempertahankan jawatan masing-masing dan cabaran baru pastinya daripada Ketua Pemuda PAS yang juga ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Sejauh mana gelora dalam PAS menjelang Muktamar November ini membadai parti yang semakin lari daripada perjuangan asalnya, ianya masih menarik perhatian umum walaupun pemilihan dalam perhimpunan Agung UMNO nyata lebih panas.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana