Mangsa nahas bas ceritakan pengalaman ngeri

KUALA LUMPUR - Mangsa kemalangan bas yang terselamat Tan Ming Shing telah tersepit di antara mayat-mayat lain selama kira-kira setengah jam sebelum dia diselamatkan.
“Pada masa itu saya hanya fikir mahu terus hidup kira apa yang berlaku. Saya terperangkap. Terdapat mayat di atas dan di bawah saya. Nasib baik, saya masih mempunyai sedikit ruang untuk bernafas,” katanya yang berusia 26 tahun, menceritakan pengalaman ngerinya.
Tan, yang bekerja di Genting sebagai pekerja di bahagian dapur, patah lengan kiri dalam kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Apabila bas terjunam ke dalam gaung, penumpang lain menjerit, menangis dan ada yang berdoa.
“Saya pasti bahawa saya akan mati. Saya duduk di barisan belakang bas tetapi saya tercampak dan ‘terbang’ tepat ke hadapan. Jika tidak kerana pokok-pokok besar yang ada, bas itu akan terjunam lebih jauh lagi,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian bas hampir melanggar tiang tokong berhampiran dan pemandu berkata bas mengalami masalah brek.
“Ketika mengundurkan bas, ia hampir melanggar sebuah kereta Honda City tetapi pemandu tidak benarkan penumpang turun. Pemandu Honda City itu memarahi pemandu bas tersebut.
“Pemandu beritahu supaya kami menunggu bas seterusnya untuk mengambil kami,” katanya.
Jelasnya, pemandu tersebut menganggap nyawa penumpang seperti ‘mainan’ dan berdegil dengan terus memandu turun dengan kelajuan 80km hingga 100 km sejam sebelum melanggar pembahagi jalan dan kemudian terjunam ke dalam gaung.
“Semuanya berlaku amat cepat, dalam masa tiga saat sahaja. Nasib baik ada dua pokok, kalau tidak mayat pun tidak ada,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada seorang mangsa, Saedah Misbun, 19, sedang minum di sebuah restoran di kampung halaman mereka di Tanjung Malim ketika anak perempuannya menghubunginya.
“Dia menghubungi saya dan menangis. Dia beritahu bas yang dinaikinya terbabit kemalangan dan dia sedang sakit kerana cedera. Saya boleh mendengar orang lain meraung kesakitan dan berdoa. Kemudian, talian terputus,” kata Misbun Kastopodo, 43.
Beliau tidak mempunyai pilihan tetapi masih menunggu kerana dia tidak tahu di mana Saedah berada.
“Beberapa jam kemudian, doktor menghubungi saya dan memberitahu anak saya berada di hospital,” katanya.
Saedah, yang tercampak keluar dari bas semasa kejadian itu, mengalami keretakan pada tulang rusuk kanan, kecederaan pada paru-paru, namun kini berada dalam keadaan stabil. -mStar

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana