Kerajaan buat persiapan pindahkan rakyat Malaysia di Mesir...

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberitahu kerajaan akan memindahkan 3,300 rakyat Malaysia di Mesir dalam tempoh tiga hari jika keadaan bertambah kritikal.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat hari ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Malaysia Airline System (MAS) dan AirAsia.

"Sehingga kini 3,300 rakyat Malaysia di Mesir adalah selamat. Kita akan lakukan apa saja untuk pindahkan mereka jika keadaan semakin panas," katanya.

Krisis di Mesir semakin memuncak apabila 464 orang terbunuh sehingga sekarang selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda semalam.

Hishammuddin berkata jika lapangan terbang di Mesir boleh digunakan, pesawat MAS dan AirAsia akan digunakan untuk membawa rakyat Malaysia pulang secara penerbangan terus ke Kuala Lumpur.

"Jika lapangan terbang di sana ditutup, maka logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan untuk membawa mereka pulang melalui laluan perjalanan penerbangan yang telah dirancang," katanya.

Hishammuddin berkata pihaknya telah memantau keadaan di Mesir sebelum Ramadan iaitu sejak Julai lalu dan telah menempatkan beberapa pegawai MKN, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar untuk menilai situasi di sana.

"Mereka juga akan memutuskan bila kita akan laksanakan proses pemindahan itu jika beberapa kawasan selamat bertukar menjadi panas," katanya sambil menegaskan prosedur pemindahan akan dilaksanakan berdasarkan operasi pemindahan rakyat Malaysia dari negara itu, yang dilanda demonstrasi jalanan rakyat bagi menjatuhkan presiden Hosni Mubarak, dalam Ops Piramid pada 2011.

Beliau juga kesal dengan beberapa pihak penganjur swasta yang berdegil dan menghantar 200 daripada 2,346 pelajar Malaysia, yang ditawarkan untuk belajar di universiti-universiti di Mesir pada tahun ini, ke negara itu.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan pihak universiti di Mesir agar menangguhkan peperiksaan ulangan dan pengambilan pelajar baharu dari Malaysia, terutama bidang perubatan, sehingga keadaan di negara itu reda.

Pada Febuari 2011, Malaysia pernah membawa pulang lebih 14 ribu rakyat Malaysia dari negara tersebut selepas ketidaktentuan di negara itu ekoran demonstrasi besar-besaran mengulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Dalam operasi yang dinamakan 'Ops Piramid' itu, semua rakyat Malaysia dipindahkan ke asrama Tabung Haji di Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Sementara itu, seramai 1,481 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Mesir yang kini sedang bercuti dinasihatkan berhubung terlebih dahulu dengan pegawai-pegawai Mara di negara itu untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai keadaan di sana sebelum kembali meneruskan pengajian.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelajar-pelajar di negara ini perlu perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di Mesir sebelum boleh kembali pulang.

Beliau berkata, pegawai Mara di Mesir akan sentiasa memantau keadaan di negara itu dan sekiranya perjalanan ke negara itu didapati tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada pelajar-pelajar ini, mereka boleh kembali.

"Pelajar-pelajar tajaan kita berada di sana masih lagi tidak ramai iaitu hanya sekitar 192 orang kerana masing-masing masih bercuti. Sebelum mereka (pelajar) ini kembali ke Mesir, dapatkan nasihat terlebih dahulu sama ada keadaan di sana selamat ataupun tidak.

"Saya juga telah mengarah Ketua Pengarah Mara di Mesir memberikan laporan dari masa ke semasa mengenai keadaan di negara itu kerana kita hendak pastikan semua pelajar tajaan kita tidak terlibat dengan apa jua keadaan yang tidak diingini," katanya.

Selain itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri sentiasa memantau keselamatan 897 orang penuntut dari negeri ini yang berada di Mesir bagi memastikan keselamatan mereka terjamin di negara yang sedang bergolak ketika ini.

Menurut Mukhriz pemantauan ke atas penuntut-penuntut di sana dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.

"Kita pantau keadaan pelajar-pelajar kita di sana dari semasa ke semasa dan laporan mengenai keadaan keselamatan mereka juga sentiasa diterima," katanya.

Beliau berkata beberapa peraturan dan nasihat telah disampaikan kepada penuntut-penuntut di sana bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pergolakan yang berlaku di Mesir.

"Setakat ini, pelajar-pelajar kita di sana mematuhi segala peraturan dan nasihat yang diberikan. Kami nasihatkan mereka supaya mengelakkan diri daripada melalui kawasan-kawasan yang berbahaya kerana bimbang mereka akan dicederakan.

"Selain itu, kami nasihatkan supaya mereka jangan cepat panik dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekecohan berlaku yang boleh menyebabkan ahli keluarga mereka di sini bimbang," katanya.

Mukhriz menasihatkan penuntut di Mesir agar tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan serta menjauhi kawasan huru-hara dan rusuhan demi menjaga keselamatan diri.

Konflik politik di Mesir kini bertambah buruk apabila semakin banyak pertempuran berlaku antara penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Morsi dengan anggota keselamatan, yang menyebabkan banyak kematian di kalangan rakyat negara itu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana