Ahli seumur hidup PAS dakwa ramai pengikut Syiah dalam parti

SHAH ALAM: Ahli PAS seumur hidup Ismail Mina Ahmad mengaku terdapat ramai pengikut mahzah Syiah di kalangan parti itu meskipun pemimpin utamanya tidak mahu membuat sebarang pendedahan.

Katanya, terdapat beberapa kategori pengikut Syiah dalam PAS dan beliau bersetuju dengan pandangan bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa gejala itu bukan sesuatu yang baru.

"Dalam PAS, orang yang pro-Syiah ada pelbagai kategori. (Pertama) ada yang betul-betul beramal dengan Syiah, (kedua) ada yang membenarkan ajaran Syiah itu benar tetapi tidak beramal dan (ketiga) ada ahli-ahli PAS yang katanya menerima Syiah dari segi politik, yang lain tidak.

"Saya tahu bukan satu dua, dua tiga orang yang menganut Syiah. Saya tahu memang ramai (pengikut Syiah)," katanya ketika dihubungi Antarapos di sini, hari ini.

Menurut Ismail Mina, isu Syiah di kalangan ahli PAS bukan perkara baru kerana beliau sendiri pernah mendakwa "terdapat syirik" di kalangan ahli-ahli PAS yang nyata telah terpesong jauh dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah, katanya PAS sendiri sememangnya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan pemimpin-pemimpinnya dengan ajaran Syiah.

"Maklumat apa yang diperlukan? Terang-terang ahli-ahli PAS bercakap si polan-polan ini ahli Syiah, si polan-polan pergi ke Syria berjumpa pemimpin-pemimpin Syiah, dan bawa orang-orang Syiah ke Kuala Lumpur buat program Syiah. Nak maklumat apa lagi?

"Ramai sebenarnya, bukan di kalangan ahli biasa, ia termasuk pemimpin. Cuma saya harap seperti yang diperkatakan (Ketua Penerangan PAS) Tuan Ibrahim (Tuan Man) yang mengatakan ada audit dalaman.

"Beliau kena mulai semalam dan panggil beberapa saksi yang ada maklumat. Jangan audit sesama mereka sahaja," kata Ismail Mina yang juga adalah Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT).

Beliau turut membidas pemimpin PAS yang menyelar "orang luar" seperti Dr Azri yang didakwa tidak layak bercakap hal-hal berkaitan PAS, lebih-lebih lagi mengaitkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan dengan ajaran Syiah.

Katanya, tindakan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Setiausaha Majlis Syura PAS Datuk Nik Zawawi Nik Salleh hanya mahu 'menutup' pandangan luar mengenai masalah dalaman parti itu.

Katanya, sebarang pandangan yang disuarakan perlu diterima secara terbuka dan terpulang kepada kepimpinan parti untuk menilainya.

"Itu cakap politik sahaja. Macam Nik Zawawi cakap 'tiada', itu cakap politik. Kita tak boleh begitu, jika salah salahlah, itu pendirian saya.

"Kalau dia kata 'kamu tiada hak bercakap sebab kamu bukan ahli', dari satu segi itu memang betul, tetapi soal kebenaran sesiapa sahaja boleh bercakap. Sebab ini untuk kebaikan semua pihak terutama kumpulan Islam.

"Kembali kepada Dr Asri, atau sesiapa sahaja orang Islam yang memberi pandangan kepada kita, harus terima dengan cara hati terbuka. Kalau salah, dia buat fitnahlah, kalau kita salah maka kita perbetulkan kesalahan kita," katanya lagi.

Melalui laporan Antarapos hari ini, Harun mendakwa bekas Mufti Perlis itu bukan ahli PAS dan tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam parti itu.

Hal berkenaan turut sama disuarakan oleh Nik Zawawi yang bertegas tiada seorang pun ahli PAS yang terpesong ke arah ajaran Syiah.

Asri baru-baru ini mendedahkan kepada Antarapos bahawa terdapat pengikut Syiah di kalangan pemimpin PAS, malah menurut beliau perkara itu tidak dinafikan pemimpin PAS sendiri.

Dua nama besar PAS yang sering dikaitkan sebagai pengikut Syiah adalah Timbalan dan Naib Presiden PAS, Mohamed Sabu dan Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam wawancaranya dengan Antarapos minggu ini pula tidak menolak hubungan baik beberapa pemimpin PAS dengan tokoh utama Syiah di luar negara memungkinkan parti itu dikaitkan dengan gerakan Syiah di negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana