Timbalan Menteri tempelak MP DAP politikkan isu tol

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen DAP ditempelak kerana menyifatkan cadangan untuk mengenakan caj tol sebanyak RM2.20 di persimpangan bertingkat di Kilometer 16.5 Lebuh Raya Maju Expressways (MEX), dekat sini sebagai hukuman kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap penduduk Selangor.

Menyifatkan kenyatan itu sebagai tuduhan melulu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kadar sebenar tol bagi projek bernilai RM90 juta itu hanya akan diumumkan selepas pembinaannya yang dijangka mengambil masa selama 24 bulan selesai.

"Inilah contoh tuduhan melulu pembangkang yang sangat mendukacitakan. Pembinaan persimpangan bertingkat Seri Kembangan adalah untuk mengatasi masalah trafik dan kesulitan akses keluar masuk lebuh raya selain boleh menjimatkan masa perjalanan.

"Yang Berhormat Serdang seharusnya berterima kasih kepada pemimpin MCA yang memperjuangkan pembinaan persimpangan ini, bukannya membuat tuduhan sebegini," katanya ketika menjawab soalan Dr Ong Kia Ming (DAP-Serdang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ong mendakwa kadar itu seakan-akan menunjukkan bahawa kerajaan sengaja ingin mengajar dan menghukum penduduk Serdang dan Selangor amnya kerana menyokong pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Tahun lalu, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Shaziman Abu Mansor semasa melawat projek itu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 68,000 penduduk di sekitar Seri Kembangan, dilapor sebagai berkata caj tol yang dicadangkan untuk pengguna lebuh raya itu ialah RM2.20 untuk laluan ke arah dan dari Kuala Lumpur, manakala perjalanan dari dan ke Putrajaya tidak dikenakan bayaran kerana mereka akan dikenakan bayaran di Plaza Tol Putrajaya.

Rosnah berkata sebagai kerajaan yang prihatin, beliau yakin kerajaan BN akan berunding dengan pemaju terbabit dan seterusnya memberikan kadar harga tol yang berpatutan untuk keselasaan rakyat.

"Saya tegaskan kadar sebenar hanya akan diumum selepas pembinaan selesai. Apabila projek itu siap projek, cajnya adalah tertakluk kepada kerajaan.

"Mana tahu sebagai sebagai kerajaan yang prihatin, mungkin jumlah RM2.20 itu akan dikurangkan," katanya.

Berhubung status pembinaan projek itu, Rosnah berkata proses pengambilalihan tanah milik persendirian sedang dijalankan secara berperingkat manakala proses pembersihan tapak di tanah milik kerajaan telah dimulakan.

Pembinaan persimpangan itu dijangka mengatasi kesulitan penduduk yang sebelum ini terpaksa ke Putrajaya yang jaraknya lebih 10 kilometer untuk memasuki lebuh raya berkenaan.

Pada masa ini, Lebuhraya MEX sepanjang 42 kilometer yang bermula dari Bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur mempunyai lima persimpangan bertingkat iaitu di Bulatan Kampung Pandan, Salak Selatan, Kuchai Lama, Bukit Jalil dan Putrajaya dengan dua plaza tol iaitu di Salak Selatan (RM1.50) dan Putrajaya (2.50).

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana