Tabiat politik rakyat Mesir menghairankan

Corak pemerintahan bentuk jiwa lemah

Ramai dalam keadaan kehairanan melihat tabiat politik sebahagian rakyat Mesir. Mereka bersorak gembira selepas mengetahui pihak tentera ‘merampas kuasa’ daripada Presiden Mohammad Morsi yang hanya baru setahun dipilih oleh rakyat Mesir mengetuai negara itu menerusi proses demokrasi.

Tabiat politik rakyat Mesir yang menghairankan ini tergambar dalam kenyataan sarjana Islam, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang meminta rakyat Mesir bersabar dengan kehidupan secara demokrasi dan menyeru mereka menyokong Morsi kerana pengalaman pemerintahan beliau baru berusia setahun.
Qaradhawi hairan mengapa sebahagian rakyat Mesir tidak mampu bersabar dengan sistem pemerintahan demokrasi yang menekankan aspek keterbukaan, kesaksamaan dan semangat berperaturan yang hanya baru setahun jagung usianya sedangkan mereka mampu pula bersabar berdekad-dekad hidup di bawah sistem pemerintahan tentera pimpinan Hosni Mubarak sebelumnya yang memang terkenal bersifat kuku besi.

Bertentangan akal, logik

Tabiat politik yang gelojoh dan tidak sabar ini bukan saja menghairankan Qaradhawi tetapi juga seluruh masyarakat antarabangsa. Mereka hairan dengan dakwaan sebahagian rakyat Mesir yang menyatakan bahawa pemerintahan Morsi gagal menyelesaikan pelbagai isu negara, terutama membabitkan soal ekonomi.

Dakwaan ini ternyata suatu yang bertentangan dengan akal dan logik pemikiran umum. Ia seolah-olah menunjukkan iaitu sebelum ini sebahagian rakyat Mesir mengharapkan Morsi membawa bersamanya ‘keajaiban’ atau ‘mukjizat’ besar bagi menyelesaikan seluruh permasalahan dihadapi Mesir dalam masa setahun.

Dalam kehidupan semasa hari ini, tidak ada seorang pemimpin sekalipun yang memiliki ‘tongkat mukjizat’ yang mampu menyelesaikan seluruh permasalahan negara dalam tempoh setahun.

Malah pemimpin kuasa besar seperti Presiden Barack Obama terpaksa berhempas pulas meyakinkan rakyat Amerika Syarikat memberikan beliau mandat untuk penggal kedua bagi membolehkan segala langkah mengatasi kemelut ekonomi diatasi.
Rakyat Amerika nampaknya rasional dengan permintaan Obama kerana memahami kerumitan sistem geopolitik dunia semasa bagi mencapai penyelesaian sesuatu persoalan besar yang dihadapi negara. Namun, sebahagian rakyat Mesir nampaknya tidak rasional dan tidak berlaku adil terhadap Morsi.

Rakyat tak serik

Cabaran Morsi dalam konteks ini lebih besar memandangkan beliau mewarisi keadaan ekonomi yang lemah daripada pemerintahan Mubarak sebelumnya. Apatah lagi banyak prasarana dan institusi kenegaraan Mesir terkongkong dan tidak menyebelahi Morsi.

Seharusnya, sebahagian rakyat Mesir harus bersikap ‘tasamuh’ dan berlapang dada kepada ketua negaranya menjalankan urusan pemerintahan dalam tempoh yang dibenarkan oleh sistem demokrasi tanpa gangguan.

Mekanisme ini seharusnya dihormati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Mesir. Menerusi mekanisme ini, mereka boleh menilai dan memilih tokoh lain sebagai ketua negara andainya prestasi Morsi tidak memberangsangkan. Melakukan bantahan dan mendorong rampasan kuasa terhadap seorang ketua negara adalah satu perbuatan yang menghairankan semua pihak.

Nampaknya, sebahagian rakyat Mesir tidak berasa serik berada di bawah pemerintahan yang bersifat menekan dan kuku besi sebagai mana yang dialami sebelum ini. Hikayat kekerasan dan tekanan yang dihadapi oleh individu atau kumpulan yang menunjukkan perbezaan pandangan dengan pemerintah tentera sudah menjadi rahsia umum.

Golongan sarjana dan agama adalah antara kumpulan yang paling banyak mendapat kesan kekerasan sepanjang pemerintahan yang bercorak autokratik ini.

Dipengaruhi tabiat politik

Mengapa sebahagian rakyat Mesir begitu mudah menjadi saluran kepada proses rampasan kuasa tentera adalah suatu persoalan yang sungguh menghairankan.

Ada komentar yang mengatakan tabiat politik yang ditunjukkan sebahagian rakyat Mesir ini yang mana mereka seperti tidak dapat membezakan kebaikan antara sistem pemerintahan bercorak autokratik dan demokratik adalah antara jelmaan nilai dan naluri yang membentuk keperibadian mereka sejak sekian lama.

Pengalaman kehidupan yang berada di bawah pemerintahan kuku besi dalam satu tempoh masa yang sungguh lama memberi kesan besar terhadap pembentukan jiwa yang lemah sebahagian rakyat Mesir.

Nilai hidup yang memupuk dan menekankan kehidupan secara berperaturan dan menghormati undang-undang yang disepakati bersama nampaknya tidak sejajar dengan keadaan jiwa mereka yang lemah.

Sekiranya pandangan mengenai tabiat berpolitik ini benar, maka bukan sesuatu yang pelik lagi nanti apabila muncul banyak lagi peristiwa politik di Mesir yang akan mengundang kehairanan kita semua.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana