Raja Nazrin pertahan Utusan, disifatkan tidak rasis


KUALA LUMPUR 8 Julai - Di sebalik kritikan pelbagai pihak terutama para pemimpin pembangkang terhadap Utusan Malaysia, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mempertahan akhbar itu yang disifatkan baginda tidak mengamalkan diskriminasi kaum.

Dengan mengambil contoh tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan melalui kolum Cuit baru-baru ini, baginda bertitah, kupasan Zaini mengenai situasi seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Melissa Gooi yang ditahan polis membuktikan akhbar itu membela wanita berketurunan Cina tersebut.

Titahnya, tulisan Zaini yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 5 Jun lalu bertajuk Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah meningkatkan keyakinan baginda majoriti rakyat negara ini tidak bersifat perkauman sebaliknya insan berjiwa rasional dan berfikiran waras.

Malah, baginda turut memuji Zaini yang disifatkan berjiwa besar dan contoh semangat seorang 'Malaysian' yang secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran meskipun percaya Zaini tidak mengenali Melissa Gooi.

"Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti rencana tulisan beliau, Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina sementara Zaini, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu, malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman.

"Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013 bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Yang hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana