Perkenalkan kurikulum kenegaraan, titah Raja Nazrin

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menitahkan agar kurikulum kenegaraan diperkenalkan segera bagi mendidik rakyat tentang Perlembagaan negara selain membendung peristiwa hitam seperti menghina Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda bertitah kurikulum tersebut sepatutnya menjadi asas kepada pembendungan peristiwa itu tetapi tidak dititikberatkan dari dahulu sehingga mengakibatkan ada pihak bertindak melulu.

"Kandungan kurikulum dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati, hendaklah diperkenalkan segera tanpa bertangguh dan dijadikan sebagai kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah malah di semua maktab, kolej dan institusi latihan.

"Selain itu, ia juga harus diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam," titah baginda pada Syarahan Angkatan Tentera 2013 bertajuk Pasca Pilihan Raya Ketiga Belas: Pemuafakatan dan Perpaduan Nasional", di Wisma Perwira di Kuala Lumpur Isnin.

Baginda bertitah kaedah seperti menahan, menangkap, mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas penyebab peristiwa itu tidak akan menyelesaikan masalah berbanding dengan cara mendidik asas-asas kenegaraan bermula dari bilik darjah serta menyemai semangat "Kesetiaan kepada Raja dan Negara."

"Jika kita mempercayai pendekatan sedemikian (menangkap) untuk menangani masalah, berapa ramai lagi pegawai penyiasat diperlukan, berapa banyak lagi jawatan pendakwa yang harus ditambah dan berapa banyak lagi mahkamah yang perlu diwujudkan," titah baginda.

Dalam titah baginda yang dilihat sebagai reaksi terhadap insiden penghinaan titah Yang di-Pertuan Agong melalui laman sosial Facebook baru-baru ini, baginda menggariskan pendidikan kenegaraan sebagai antara lima komponen yang boleh dilakukan kerajaan untuk mewujudkan permuafakatan dan perpaduan.

Baginda bertitah komponen lain ialah meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang kerana ia kunci penentu untuk menjamin ketenteraman awam serta kestabilan politik.

"Undang-undang tidak harus dilaksanakan secara selektif. Apabila undang-undang dan keadilan mula diperdagangkan dengan ringgit dan sokongan, dikompromi kerana tekanan politik akan menderitalah yang miskin dan lemah, bermaharajalela yang kaya serta yang berkuasa," titah baginda.

Baginda seterusnya menjelaskan dalam melahirkan permuafakatan, media juga harus dijadikan instrumen kerana rakyat kini telah menguasai saluran media alternatif.

"Data menunjukkan pengguna internet di Malaysia yang mempunyai jumlah penduduk 29 juta telah meningkat dari 3.7 juta pada tahun 2000 kepada 17.7 juta bagi tahun 2012.

Justeru itu, titah baginda, media rasmi negara hendaklah dipastikan mengamal cara pengolahan berita yang seimbang dan autentik sebagai fungsi jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat serta berupaya merentasi dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana