PENJAGA INTERNET KAFE DICEDERA, DIBOGELKAN AKIBAT PAPAR SENDA RAMADAN

Kuala Lumpur, 16 Julai - Seorang penjaga kaunter kafe internet
dicedera dan dibogelkan oleh sekumpulan lelaki semalam setelah dia membuat paparan kontroversi yang mempersenda Ramadan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki dari Shah Alam itu diperlakukan demikian akibat kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan paparan facebook oleh Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24.

Pasangan itu mempersenda Ramadan dengan memuat naik gambar hidangan khinzir di laman mereka.

"Tindakan pantas polis berjaya menahan empat lelaki di Shah Alam dan Petaling Jaya pagi ini kerana terbabit mencederakan lelaki itu. Motif mereka ialah membalas dendam terhadap paparan Vivian dan Alvin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk Heliliah Mohd Yusof, di Bukit Aman, di sini hari ini.

Dalam kejadian 3 pagi semalam, Ng Mun Tatt, 24, dipercayai telah dilarikan oleh lapan lelaki menaiki Toyota Alphard ketika beliau sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Shah Alam.

Wanita itu tidak diapa-apakan.

Ng dicedera dan dibogelkan sebelum ditinggalkan di Kilometer 4.5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), berhampiran susur keluar Setiawangsa di sini.

Beliau ditemui oleh seorang penunggang motosikal yang membawanya ke balai polis Jalan Tun Razak.

Mengenai perkembangan siasatan terhadap Alvin dan Vivian, Khalid berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan
perpaduan.

"Saya nasihat pasangan itu datang ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk dirakam percakapan mereka," katanya.

Semalam, Alvin dan Vivian telah memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kesalahan itu boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana