NGO, penganalisis sokong ikrar PM pertahankan kalimah Allah

SHAH ALAM: NGO Melayu, Jalur Tiga (JATI) mahu semua anggota Jemaah Menteri yang beragama Islam menyokong ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tetap mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperlekeh.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali berkata, beliau berharap semua menteri berkenaan akan membuat  kenyataan terbuka bahawasanya mereka akan mempertahankan kedudukan kalimah Allah.

Masyarakat mengharapkan PM dan Menteri-menteri Islam khususnya akan sama-sama bersuara untuk menyatakan bahawasanya mereka ini akan mempertahankan (Kalimah Allah).

"Kalau tidak nanti, apa yang akan berlaku adalah puak-puak Kristian ini hanya akan melihat bahawa perdana menteri berseorangan dalam perjuangan ini," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Aidit mengulas kenyataan Najib, malam semalam bahawa Barisan Nasional (BN) yang telah diberikan mandat untuk terus mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu akan tetap mempertahankan kesucian agama Islam.

Bagi beliau, ikrar Najib selaku pengerusi BN amat disambut baik oleh umat Islam yang kini resah melihat penganut agama lain mengasak agama mereka.

"Saya yakin amat-amat diterima baik oleh umat Islam, khususnya mereka yang selama ini berjuang untuk memastikan bahawa kalimah Allah dan juga segala yang merupakan hak mutlak Islam tidak disalah gunakan oleh orang-orang yang bukan beragama Islam.

"Perdana Menteri mesti sedar bahawa sekarang ini keresahan masyarakat sudah sampai satu peringkat di mana mereka tidak akan sekadar melihat dan berpegang pada kata-kata, mereka sekarang sangat dahagakan agar apa yang dilafaz betul-betul dilaksanakan.

"Dan untuk melaksanakan perkara ini dan janji ini, maka perbuatan adalah lebih penting dari kata-kata," katanya.

Polemik mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan penganut agama Islam kembali rancak diperkatakan. Ia susulan kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia Biskop Joseph Marino yang menyokong kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God' di kalangan penganut agama Kristian.
   
Sokongan terbuka biskop itu mendapat tentangan hebat beberapa kumpulan Islam yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sensitif dan sangat menghina kepada umat Islam serta orang Melayu.

Mengulas lanjut, Aidit menggesa pihak kerajaan untuk bertindak tegas kepada pihak yang mengganggu-gugat kesucian Islam dan juga kalimah Allah.

"Kita hendak menunjukkan bahawa kita serius dalam menangani masalah ini, maka bukan sekadar PM perlu mengeluarkan kenyataan, tetapi diplomat Vatican itu perlu dipanggil paling tidak oleh Wisma Putra.

"(Beliau perlu) ditegur dan dinasihat dan diberi amaran bahawasanya jangan sekali-kali campur aduk dalam hal Malaysia lebih-lebih lagi kalau ianya menyentuh hak-hak agama Islam," katanya lagi.

Bagi penganalsis politik, Dr Wan Mohd Adam Wan Noruddin, usaha perdana menteri dalam memelihara agama menjadi keutamaan buat masa kini.

Katanya, komitmen yang ditunjukkan perdana menteri adalah satu petanda positif bagi seluruh umat Islam di negara ini yang selama ini berjuang untuk mempertahankan kalimah Allah khususnya.

"Kita berharap, istiqamah ini dan komitmen ini diteruskan sehinggalah kita melihat proses ini berjalan dan mencapai kesucian kalimah Allah dipelihara dan tidak disalah gunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda terselindung," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana