Ismail Sabri kecewa sikap Guan Eng

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang agar lebih sensitif dan menangani segera isu pengaliran najis babi ke kawasan tanaman padi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sepatutnya mengambil tanggungjawab dan bukan bertindak lepas tangan dengan menyerahkan kepada kementerian.

"Ahli Parlimen Bagan patut faham sensitiviti. Isu ini harus mereka selesaikan kerana di bawah bidang kuasa negeri, tetapi sebaliknya mereka tolak isu ini kepada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri mesti mengambil tanggungjawab dan kementerian sedia membantu.

"Isu ini kena sama-sama selesaikan. Kerajaan Persekutuan tidak akan mampu selesai masalah najis babi ini jika kerajaan negeri tidak beri kerjasama," katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kekesalan dengan kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang menyelesaikan kes pencemaran najis babi di Kampung Selamat sehingga menyebabkan 500 pesawah terpaksa menanggung kerugian.

Selain Kampung Selamat, Kampung Pantai Acheh di Balik Pulau juga menerima nasib sama apabila najis babi mencemarkan laut di kawasan berdekatan sehingga memberikan kesan kepada ekosistem hidupan di kawasan berkenaan dan hal serupa menimpa Kampung Jawi.

Berikutan desakan itu, Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berjanji akan membawa isu tersebut kepada kerajaan negeri sambil memberitahu beberapa langkah sudah diambil, namun enggan mendedahkannya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, penyelidikan rapi sedang dibuat untuk memperkenalkan jenis padi baharu yang boleh ditanam dengan menggunakan semburan air seperti penanaman sayur sahaja tanpa memerlukan air bertakung.

Katanya, apabila penyelidikan itu berjaya kelak, jenis padi baharu tersebut bukan sahaja memerlukan kadar air yang sedikit tetapi berupaya meningkatkan pengeluaran hasil padi, sekali gus memberikan lonjakan pendapatan kepada para pesawah.

Mengenai pemulihan tanah jerlus di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan tanah sawah seluas 8,107 hektar, beliau memberitahu, lembaga itu memerlukan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.68 juta.

Jelasnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi peruntukan kewangan tahun 2013, kerajaan sudah meluluskan sebanyak RM17.89 juta tetapi tidak mencukupi kerana berlaku pelebaran kawasan tanah jerlus akibat hujan tidak menentu.

"Tanpa tindakan pemulihan dan runtuhan tambahan ini, akan menjejaskan hasil pengeluaran padi sebanyak 81,070 metrik tan setahun dan menyebabkan pesawah di kawasan MADA kerugian sehingga RM105.2 juta setahun," jelasnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana