Gerakan mesti 'izinkan' Umno terajui BN Pinang

KUALA LUMPUR: Adalah menjadi kewajaran dan keperluan untuk Gerakan bagi menyerahkan jawatan nombor satu Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kepada Umno , kata Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ini kerana katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menyaksikan parti itu dan MCA langsung gagal menarik pengundi kaum Cina dan Pulau Mutiara itu kekal di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Dalam temubual bersama Antarapos, Reezal Merican yang juga adalah Ketua Penerangan Pemuda Umno secara terbuka meminta Gerakan dan MCA berdepan dengan realiti bahawa komponen BN itu ditolak pengundi Cina.

"Itu adalah realiti kerana parti komponen BN iaitu  MCA dan Gerakan gagal untuk menarik sokongan kepada mereka dan membolehkan mereka untuk menang dengan kerusi yang ditandingi," katanya.

Jelas Reezal Merican, Umno kekal dengan rentak kemenangannya dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang membolehkan parti itu menang 10 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandingi.

"...sedangkan Umno masih mengekalkan rentak, dahulu (2008) Umno mendapat 11 kerusi dan hari ini Umno memperoleh 10 kerusi daripada 15 kerusi ditandingi bererti hampir 60 peratus lebih Umno berjaya mendapat semula kerusi ditandingi.

"Tapi malangnya kerusi ditandingi parti komponen gagal, ia juga memperlihatkan bahawa terdapat kecenderungan kaum masyarakat Cina yang menolak parti komponen yang mewakili kaum mereka," katanya yang mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Pakatan Rakyat mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam DUN.

Gerakan dan MCA yang  mewakili kaum Cina mengalami prestasi buruk dalam pilihan raya umum sejak dua penggal lalu.

Reezal Merican berkata, penolakan pengundi Cina terhadap BN telah berlaku sejak 2008 lagi apabila kaum itu enggan memberikan undi kepada Gerakan dan MCA.

"Sebab itu saya pada satu saat dahulu pernah mengutarakan cadangan atas semangat konsensus dan pemahaman yang sama di mana dahulunya BN (Pulau Pinang) diterajui oleh Gerakan...malahan dua kali Gerakan menerajui negeri dan dua kali kita gagal selepas pasca pilihan raya umum 2008.

"...dan sebagai rakan rapat kepada Gerakan kita tak sanggup melihat Gerakan diaibkan dan dimalukan oleh masyarakat Cina yang menolak mereka," katanya.

Justeru wakil rakyat penggal pertama ini berkata perubahan di peringkat BN negeri perlu dilakukan dan Umno mampu memainkan tanggungjawab tersebut.

"Maka kita lihat mungkin ada kewajaran untuk diberi ruang agar Umno memimpin kepimpinan BN negeri sebagai satu konsensus bukan rampasan yang memungkinkan barangkali BN dapat diperbaharui, dijenamakan semula dan tampil dengan pendekatan-pendekatan baru.

"Jadi setelah dua penggal (Gerakan) gagal, saya merasakan mungkin ada kewajaran kita melihat untuk kepimpinan BN berubah dalam kerangka pemahaman yang padu dan jitu, bukan dalam erti kata merampas kerana kita memerlukan sokongan dan dokongan MCA dan Gerakan sebab kedua-duanya rakan akrab kita.

"...kedua-duanya juga menyumbangkan kepada kemenangan di kalangan pemimpin dan wakl rakyat Umno. Sebab itu saya fikir di samping kita menerima realiti terdapat penolakan yang agak besar dalam kalangan pengundi Cina terhadap parti komponen maka kita juga melihat bahawa ada ruang BN boleh berubah dari segi pendekatannya bagi memungkinkan rakyat menaruh keyakinan semula bagi menyokong BN," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana