Bilik gerakan 'Ayah Man' kesan 3000 pengundi

Bilik gerakan khas ditubuhkan keluarga Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman akan mengembleng pengundi berdaftar di kalangan ahli keluarga untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN)itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Rabu ini.

Bapa calon BN, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 74, berkata bilik gerakan yang mempunyai jentera sendiri itu akan mengesan susur galur lebih 3,000 penduduk di kawasan Besut yang mempunyai talian persaudaraan dengan mereka.

Katanya ahli keluarga mereka kini 'bertaburan' di pelusuk Besut sehingga ke Pulau Perhentian setelah kedatangan moyang mereka Muhammad Idris ke Kuala Besut kira-kira 150 tahun lepas.

"Diharapkan bilik gerakan ini mampu mengenal pasti saudara mara lain kerana apabila kita melihat kad pengenalan mereka, insyaAllah kita dapat tahu statusnya, memandangkan selama ini hanya menggunakan nama panggilan," katanya kepada Bernama.

Bilik gerakan itu yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut dan deretan kedai mempunyai kemudahan membuat semakan daftar pengundi.

Che Ku Abd Rahman berkata bilik gerakan yang mula beroperasi sejak 13 Julai lepas ditubuhkan kerana ingin membantu kempen anaknya termasuk memperkenalkannya kepada masyarakat setempat.

"Matlamat kita mengumpul sebanyak mana maklumat mengenai pengundi. Selain itu, kita akan cuba bantu (jentera pilihan raya BN) sedaya mungkin bagi mencapai kemenangan," katanya.

Che Ku Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Ayah Man percaya anaknya berkemampuan untuk meneruskan legasi kepimpinan keluarganya yang aktif dalam hal ehwal kemasyarakatan dan politik.

Ayah Man sendiri juga pernah bergiat aktif dalam politik Umno sewaktu muda, bekas pengerusi persatuan nelayan, guru agama dan pengamal perubatan Islam yang aktif di sekitar Kuala Besut ini.

"Saya yakin insyaAllah dengan usaha kita semua ini dan doa kepada Allah swt, kita akan menang, harap majoriti lebih besar berbanding pilihan raya umum lepas," katanya.

Tengku Zaihan akan menghadapi cabaran daripada calon PAS Endot@Azlan Yusof pada 24 Julai ini.

Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan kekosongan DUN Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana