Azlan Yang Bercakap, PAS Salahkan Pihak Lain Pula..

Kemelut bagi parti PAS bagi menjaga dan ‘menatang’ calon yang diperkenalkan untuk bertanding dalam PRK Dun Kuala Besut boleh dilihat situasinya semakin serabut.

Semakin serabut selepas kenyataan yang dibuat oleh calon PAS, Azlan @ Endut mahu menggaji pihak lain untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya beliau menang dalam PRK nanti.

Butir kenyataan Azlan itu terlalu jelas untuk didengar dan dinilai oleh semua yang menonton video jelajah PAS dalam berkempen yang dikeluarkan oleh portal Terengganutoday.com.

Selepas itu, pelbagai pihak menghentam peribadi dan kebolehan Azlan yang memperlihatkan dirinya seolah-olah tidak begitu komited dan punyai rasa tanggungjawab untuk memikul tugas menjaga rakyat.

Seperti biasa, apabila timbulnya isu seperti ini yang telah pun mencalarkan imej Azlan yang bakal menjadi wakil rakyat, PAS tak akan duduk diam. PAS ketika ini mungkin seperti cacing kepanasan kerana mungkin juga sudah mati akal menangkis setiap serangan yang diterima.

Hanya terdapat satu sahaja cara bagi PAS untuk menangani isu selepas ditembak dari setiap penjuru. Caranya, menyalahkan pihak lain. Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terus menuding jari kepada media atas kekacauan yang timbul di pihak PAS.

Bagi membersihkan kembali nama Azlan dan secara tidak langsung nama parti PAS juga, parti Islam malaysia ini mengatakan pihak media yang sengaja memutar belitkan kata-kata yang dikeluarkan oleh Azlan minggu lalu.

Maknanya, media yang terlibat dalam proses PRK Dun Kuala Besut memberikan laporan yang salah tentang kata-kata Azlan hinggakan mencemarkan imej calon tersebut.

Kebenarannya, apakah Tuan Mat tidak menonton video calonnya sendiri? Apakah beliau tidak menilai butir bicara yang jelas keluar dari mulut Azlan hinggakan menuduh pihak media sengaja memutar-belitkan kata-kata Azlan?

Inilah tindakan yang gemar sekali dibuat oleh PAS, menuduh pihak lain bagi menutup kesilapan yang mereka sendiri buat.

Hakikatnya, PAS sendiri yang buta mata dan akal untuk menilai kesilapan yang dibuat dalam percaturan meletakkan calon bertanding PRK. Walaupun Azlan adalah seorang kontraktor yang hebat dan berjaya, tetapi, kelayakan beliau untuk diangkat sebagai wakil rakyat tidak ada.

Baru sahaja mahu memulakan kempen, Azlan menunjukkan dirinya tidak pandai dalam menyusun ayat apabila berhadapan dengan pihak media. Ini belum lagi sekiranya dijolok dengan pelbagai soalan sensitif. Mahu terlopong Azlan!

Bukan itu sahaja, dek kerana silap yang terang dilakukan oleh Azlan, PAS terus ‘menggam’ Azlan dari terus memberikan kenyataan kepada pihak media atau umum. Kononnya tidak mahu kenyataan yang bakal dibuat lagi oleh Azlan disalah tafsirkan oleh pihak media.

Walhal Ini juga menunjukkan Azlan bukanlah calon yang berkaliber yang dipilih PAS yang mampu menangani tekanan dalam apa jua keadaan.

Cara yang kedua yang diambil oleh PAS pula adalah melantik jurucakap bagi pihak Azlan. Jadi, selepas ini untuk acara-acara atau kempen yang dihadiri oleh Azlan, Pengurus Kempen Pilihan raya Kecil DUN Kuala Besut, Hanafiah Mat pula yang akan membuat kenyataan bagi pihak Azlan.

Alasan yang sama juga, tidak mahu cakap atau kata-kata Azlan disalah tafsir atau diputar-belit oleh media hatta sesiapa sahaja.

Jadi, bagaimana Azlan mahu beramah-mesra dengan rakyat tempatan kalau berkata-kata juga memerlukan orang lain? Ini juga membenarkan kenyataan yang dibuat oleh Azlan sendiri di mana beliau memerlukan orang lain yang dibayar gaji bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Pergerakan Azlan juga tidak bebas dan seperti ‘dikunci’ oleh PAS kerana Azlan hanya dibenarkan ‘membuka mulut’ di markas pilihan raya kecil PAS di kawasan tersebut.

Kebebasan Azlan untuk bersuara pula hanya akan ada apabila PAS menang dalam PRK ini nanti. Barulah Azlan diberikan hak untuk membuka mulut 100%.

Secara tidak langsung, PAS telah membuatkan calon mereka adalah individu yang sebenarnya tidak layak untuk bertanding bagi melawan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37.

Kalau PAS tidak mampu untuk menghadapi cabaran apabila calon mereka kerap dihentam, seeloknya diawal lagi PAS perlu menilai dan mengkaji kredibiliti calon yang dikemukakan.

Mungkin juga PAS perlu memberikan kursus kepada calon yang baru untuk bertanding seperti Azlan bagaimana cara untuk bercakap, memberikan respon dan jawapan yang betul kepada pihak media. Tidaklah haru-biru jadi seperti ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana