Perhimpunan bantah PRU-13: Usaha terdesak capai cita-cita...

KUALA LUMPUR 19 Jun - Usaha bersungguh-sungguh pembangkang menarik sokongan orang ramai agar menyertai perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Sabtu ini, dipercayai langkah terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai cita-cita memerintah negara ini.

Sumber berkata, sasaran pembangkang untuk mengumpul kira-kira 500,000 orang hadir pada perhimpunan tersebut bukanlah bermatlamat untuk membantah keputusan PRU-13 tetapi ada agenda yang lebih besar iaitu bagi merealisasikan cita-cita Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Semasa perhimpunan pada Sabtu ini, peserta yang hadir dikehendaki berkumpul di tujuh lokasi iaitu Brickfields, Universiti Malaya, Jalan Pudu, Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo dan Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut serta Pekeliling sebelum bergerak bersama pemimpin pembangkang ke Padang Merbok di sini.

"Sebenarnya lokasi perhimpunan tersebut hanya sebagai tanda sahaja kerana matlamat pembangkang ialah mahu menawan jalan raya bagi tujuan menumbangkan kerajaan seperti pernah berlaku di Tunisia sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, perhimpunan kali ini bakal disertai semula oleh aktivis propembangkang, Abdul Malek Hussein yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah lama menghilangkan diri.

Beliau berkata, kehadiran Abdul Malek adalah untuk menyampaikan kehendak sebenar Anwar melalui perhimpunan jalanan.

Menurutnya, semua perancangan mengenai perhimpunan itu dibincangkan dalam mesyuarat antara pemimpin pembangkang di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Damansara, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Antara yang hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Abdul Samad yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim.

Difahamkan, satu lagi mesyuarat membincangkan isu sama akan diadakan di tempat sama esok.

Sumber berkata, bagi mencapai cita-cita Anwar yang mahu berkuasa, pihak penganjur perhimpunan tetap dengan keputusan untuk mengadakan program itu di Padang Merbok walaupun pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan ia diadakan dalam stadium.

"Mereka berkeras enggan mengikut arahan polis dengan alasan akan menghadapi kesukaran jika mengadakan perhimpunan itu di stadium dan Padang Merbok dipilih kerana lebih luas dari Dataran Merdeka serta tidak tertutup," katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua pemimpin pembangkang yang hadir dalam mesyuarat semalam, secara automatik adalah urus setia bagi perhimpunan itu dan anggota unit amal bersedia mengambil alih tugas memberi arahan kepada peserta sekiranya ada tangkapan terhadap ahli jawatankuasa nanti.

Kata sumber lagi, selain mengadakan perhimpunan haram, ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut akan dibekalkan khemah bagi membolehkan mereka bermalam dan meneruskan bantahan sehingga Isnin depan di lokasi yang belum ditentukan.

Beliau berkata, semasa perhimpunan nanti, pemimpin pembangkang yang hadir akan memberi mandat bermula pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang.

"Selepas itu, mereka akan 'cuci tangan' dan tiada arahan bersurai akan diberikan kononnya bagi membolehkan peserta perhimpunan mengambil tindakan selanjutnya sedangkan ia taktik bagi mengelak pemimpin pembangkang terlibat dipersalahkan jika berlaku insiden tidak diingini nanti," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana