Hati-hati dengan penipu di 1 Utama

Tiga pelajar sekolah antarabangsa kehilangan dompet, telefon pintar dan barangan berharga lain bernilai RM5,000 baru-baru ini akibat tertipu oleh lakonan licik seorang lelaki.

Memandangkan ini bukan kejadian pertama seumpamanya, maka orang ramai, terutama remaja yang mengunjungi tempat awam, dinasihat supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada penyangak yang sentiasa berlegar-legar di kawasan itu untuk mencari mangsa.

Dalam kes berkenaan, ketiga-tiga pelajar berusia 13 tahun itu pada mulanya bermain futsal di tingkat atas pusat beli-belah 1 Utama dan selepas itu mengunjungi sebuah kedai kasut apabila mereka dirapati seorang lelaki berpakaian kemas, yang menuduh mereka memukul seorang budak lelaki pada hari sebelumnya.

Seorang daripada ibu bapa yang enggan dikenali memberitahu bahawa lelaki berkenaan kemudian mendesak pelajar terbabit memasukkan telefon pintar, ipod dan dompet mereka ke dalam sebuah beg sukan yang mereka bawa dan mengikutnya ke sebuah restoran berhampiran.

Apabila sampai di restoran itu, lelaki berkenaan mengajak dua daripada mereka pergi ke pawagam di tingkat atas dengan helah untuk membuat pengecaman, sebelum membawa seorang lagi rakan mereka ke sebuah restoran makanan segera di tingkat bawah dengan meninggalkan beg tadi di restoran pertama.

Ketika berada di restoran makanan segera itu, pelajar berkenaan terjumpa rakan bapanya yang kebetulan berada di situ dan menceritakan kepadanya perkara yang berlaku, sebelum mereka bergegas ke restoran pertama tadi.

Apabila mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah berlaku, dua lagi pelajar terbabit segera pergi ke restoran sama.

Ketika itu, lelaki penipu berkenaan telah menghilangkan diri bersama barangan mereka. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran itu menunjukkan lelaki berkenaan mengambil beg tadi dari kaunter petugas dan keluar dari situ.

Laporan mengenainya kemudian dibuat di balai polis Damansara dan kepada unit keselamatan pusat beli-belah itu.

Siasatan ibu bapa pelajar terbabit mendapati beberapa remaja turut menjadi mangsa melalui modus operandi serupa di dua pusat beli-belah lain di Lembah Klang sebelum dan selepas kejadian itu.

"Lelaki ini rasa dia telah berjaya menipu budak-budak berkenaan dan akan bertindak dengan lebih berani pada masa akan datang. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi perhatian tentang bahaya ini," kata seorang individu yang memuatnaikkan klip video yang menunjukkan penjenayah berkenaan mengambil beg pelajar terbabit dalam laman Facebooknya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana