Enam bulan untuk MCA kemuka calon Exco Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata tempoh selama enam bulan diberikan bagi MCA untuk mengemukakan calon bagi mengisi satu kekosongan jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mukhriz berkata, portfolio yang diperuntukkan untuk MCA ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan yang kini disandang beliau.

"Saya rasa kami hanya mampu tunggu tiga hingga enam bulan sahaja, lepas tu kena buat keputusan lain. Portfolio untuk MCA itu saya pegang dan dibantu oleh rakan-rakan lain," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Jumaat lalu bahawa keputusan MCA tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan boleh dibatalkan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), sebelum mesyuarat agung tahunannya hujung tahun ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, MCA memenangi dua daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi di Kedah.

Mengenai pertemuannya dengan Ismail Sabri, Mukhriz berkata pelbagai bidang pertanian khususnya pembangunan penanaman padi dibincangkan bagi membantu menjana ekonomi negeri ini.

"Kita sudah kemukakan cadangan untuk tanah yang tidak penting kalau terus dijadikan bendang (sawah), mungkin boleh dilepaskan (usahakan bidang lain) jika tidak menjejaskan bekalan padi, supaya tanah-tanah ini dapat dibangunkan untuk sektor industri.

"Perkara ini perlu dibincangkan secara mendalam dengan pihak kementerian dan Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda). Setelah masa berlalu, kadang-kadang tanah semakin bernilai sekiranya ia dekat dengan bandar, nilai tinggi ini sewajarnya digunakan untuk aktiviti ekonomi," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kementerian akan meneliti mengenai usaha memulihkan masalah tanah jerlus di kawasan penanaman padi di Kedah.

"Kira-kira 8,000 hektar tanah jerlus yang tidak dapat dimanfaatkan (kawasan Mada Kedah/Perlis), kalau baik pulih belanja RM50 juta nak keringkan air dan kuatkan struktur tanah.

"Dua musim tak boleh usahakan... kemungkinan kena bagi pampasan kepada petani. Antara opsyen yang ada, usahakan tanaman lain, tapi petani di Kedah sentimental dengan padi, tak nak tukar tanaman lain," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana