Datum Jelatek: Rakyat hantar memo lagi ke istana

SHAH ALAM: Barisan Bertindak Projek Datum Jelatek akan menyerahkan memorandum bantahan kali ke-2 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kedegilan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mahu meneruskan projek kondominium mewah itu di Kampung Datuk Keramat.

Pengerusinya, Salleh Samad berkata selain itu satu tindakan undang-undang akan difailkan jika jalan penyelesaian secara baik gagal dicapai antara penduduk dan PKNS.

"Di bahagian kami, kami akan bawa ke perundangan (legal) la, kami akan bawa sampai ke tahap itu.

"Kalau tidak ke perundangan pun, kami akan bawa perkara ini ke Tuanku semula, maknanya kalau kerajaan negeri buat juga, dia (pentadbir kerajaan negeri) tidak mengambil faktor rakyat semasa dia mengangkat sumpah, dia kena ingat faktor rakyat.

"Dia kena ingat apa yang rakyat tidak puas hati sebelum pilihan raya dan juga masa kempen-kempen dia kena ambil tahu. Jadi dalam masa sama, dia (Menteri Besar) sudah angkat sumpah untuk jadi MB penggal kedua, aku janji pun sudah dia faham, jadi dia kena ambil kira segala faktor janji rakyat. Jika dia tidak peduli, kami akan bangkit semula dan bawa perkara ini ke istana," " katanya kepada Antarapos.

Memorandum pertama bantahan terhadap projek Datum Jelatek kepada pihak Istana Selangor dihantar pada 19 Mac lalu sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 diadakan.

Terdahulu, PKNS mengesahkan bahawa pihaknya sudah pun melantik kontraktor utama pada 28 Mei lalu dan kini dalam proses membawa peralatan masuk ke tapak untuk memulakan projek berkenaan.

Tindakan PKNS itu diselar oleh Salleh ekoran sekali lagi mengetepikan suara penduduk tempatan yang mahukan pembangunan projek Datum Jelatek itu kembali kepada matlamat asalnya.

"Macam mana pun mereka kena duduk dengan penduduk untuk jumpa penduduk macam kes di Kampung Baru la.

"Kami sebagai penduduk hendak pastikan kawasan ini diduduki oleh orang Melayu, jadi kami tidak akan benarkan mereka (bangunkan Datum)," katanya.

Salleh berkata meskipun projek itu dibuat atas tanah bukan tanah rizab melayu milik Kerajaan Negeri, namun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memikirkan nasib generasi akan datang, terutamanya penduduk setempat yang mahu melihat projek perumahan tersebut didiami rakyat Malaysia dan bukan pembeli dari negara luar.

Khalid sebelum ini menegaskan 70 peratus rumah di dalam projek tersebut akan dijual kepada masyarakat Melayu dan 30 peratus kepada bukan Melayu.

Bagaimanapun projek itu dikatakan "bertukar" kepada pembinaan empat bangunan eksklusif merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Difahamkan, dua blok kondominium mewah Datum Jelatek itu telahpun dijual kepada pihak asing manakala dua blok lagi masih dalam proses jualan dengan harga minimum kira-kira RM700,000 seunit.

Akhbar The Star hari ini melaporkan, PKNS bukan sahaja melaksanakan projek Datum Jelatek, malah sejumlah 17 projek mewah membabitkan kos RM14 bilion, termasuk Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya akan turut dibangunkan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana