Ada Muslihat DAP Lantik Anwar Jadi Ketua Pembangkang

Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI), Dr Yusri Mohamad berkata DAP berkemungkinan mempunyai muslihat tertentu apabila melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, sedangkan dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13), parti cauvanis Cina itu mendapat parlimen terbanyak di dalam Dewan Rakyat.

“DAP dilihat cuba bermain persepsi yang kononnya dalam Pakatan Rakyat tidak berlaku dominasi kaum Cina, walaupun jika kita lihat DAP adalah yang paling layak untuk menjadi ketua dalam Pakatan.

“Mereka masih mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang untuk mengaburi mata rakyat berkenaan wujudnya dominasi kaum lain dalam Pakatan, ini helah mereka,” katanya kepada Antarapos.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dengan memperolehi 133 kerusi, berbanding dengan pakatan pembangkang yang hanya memperolehi 89 kerusi parlimen.

Daripada 89 kerusi parlimen pembangkang itu, DAP mendapat majoriti apabila berjaya meraih 38 kerusi, diikuti dengan PKR, 30 kerusi dan PAS, 21 kerusi.

Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menyelar tindakan Anwar yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab apabila pada mulanya menyarankan ahli Parlimen pembangkang supaya memboikot sidang Dewan Rakyat bermula 24 Jun ini.

Katanya, sikap sebegitu menunjukkan bahawa Anwar tidak layak untuk menjadi pemimpin dan memberikan pandangan negatif kepada umum.

“Anwar Ibrahim memang melihatkan kredibiliti dia yang rendah, kita tak mahu Parlimen itu menjadi gelanggang ‘drama’ ataupun lakonan.“Rakyat memerlukan pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan melihat Parlimen berfungsi dengan baik, bukan tempat untuk bercakap kosong,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Datuk Aidit Ghazali berkata kemungkinan bahawa Anwar akan mengkhianati rakan-rakan seperjuangannya jika mereka tetap mengangkat beliau sebagai Ketua Pembangkang.

Menurutnya, Anwar dilihat terlalu taksub untuk memenuhi cita-cita peribadi sehinggakan sanggup untuk mengingkari dan melanggar undang-undang negara.

“Sekiranya diteruskan juga memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, saya amat yakin satu hari nanti beliau akan peralatkan rakan-rakan sama ada dari DAP ataupun PAS dan termasuk juga PKR yang tidak setuju dengan beliau.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau merupakan seorang yang begitu kemaruk dengan kepentingan peribadi sehinggakan sanggup untuk membuat perkara yang sebenarnya bercanggah dengan amalan tradisi serta peruntukan yang disediakan,” katanya.

Aidit turut meminta ahli Pakatan Rakyat untuk berfikir dengan lebih waras dan rasional dalam memilih ketua yang akan memimpin mereka bagi membuang persepsi bahawa Pakatan bergerak di bawah satu agenda yang sempit dan tidak telus.

Menurut beliau lagi, seorang pemimpin bukan sahaja perlu petah berbicara namun mesti berwibawa dalam berhujah bagi mewakili kumpulan itu.

“Justeru nasihat saya kepada pihak pembangkang untuk bijak memilih orang yang betul-betul boleh mewakili kewibawaan dan integriti mereka dan bukan sekadar memilih Ketua Pembangkang yang masing-masing memperalatkan untuk satu tujuan yang sempit ataupun semata-mata hendak duduk di Putrajaya.

“Sesiapa pun yang akan jadi ketua pembangkang dia sebenarnya perlu memainkan peranan untuk memurnikan semula persepsi ini mengenai puak pembangkang yang mereka ini mempunyai sebuah agenda yang terlalu sempit dan menyimpang daripada tunggak-tunggak negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyelar Anwar yang didakwanya tidak layak untuk terus menjadi Ketua Pembangkang kerana bertindak untuk memboikot sesi taklimat sidang Dewan Rakyat.

Rosnah pada masa yang sama mencadangkan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Anwar kerana beliau merupakan ahli Parlimen pembangkang tunggal yang hadir pada sesi taklimat berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana