Wan Ahmad: Kami tidak akan lepaskan jawatan

SHAH ALAM: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertegas tidak akan melepaskan jawatan hanya disebabkan desakan pembangkang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, sama ada beliau mahupun Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak boleh sewenang-wenangnya meletak jawatan memandangkan mereka telah dilantik olah Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Justeru Wan Ahmad meminta penyokong pembangkang untuk menyemak semula undang-undang dan menghormatinya dengan tidak melakukan sebarang kekecohan yang menggangu-gugat ketenteraman negara.

"Kita tak bersalah, kita buat pilihan raya dan pilihan raya dah selesai. Ada yang menang ada yang kalah, dan kita buat pilihan raya mengikut segala peraturan dan undang-undang semua," katanya.

"Kita dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, dan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 114 Perlembagaan dan kalau Yang DiPertuan Agong bertitah sedemikian maka baru kena pada tempatnya suruh SPR letak jawatan," jelas beliau kepada Antarapos.

Pembangkang telah mengadakan siri perhimpunan haram di beberapa buah negeri seluruh negara mengumpulkan ribuan penyokong yang rata-ratanya masyarakat kaum Cina menunjukkan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menang 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen, manakala Pakatan Rakyat hanya memperolehi 89 kerusi.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya mendakwa kemenangan Pakatan Rakyat 'dirompak' oleh Barisan Nasional (BN) selain menuduh SPR mengkhianati amanah rakyat dengan memberi kemenangan kepada BN.

Antara tuduhan yang dilemparkan terhadap SPR termasuk isu dakwat kekal, pengundi hantu, keraguan jumlah kertas undi dan 'lampu padam' di pusat pengiraan undi.

Wan Ahmad dalam pada itu turut menyindir pembangkang yang kononya menolak keputusan SPR sedangkan dalam masa sama mengangkat sumpah sebagai menteri besar dan melantik barisan kepimpinan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Negeri-negeri pun telah angkat sumpah semua, sebagai exco dan sebagai menteri besar termasuk Pulau Pinang dan Selangor mengesahkan menerima keputusan pilihan raya, ada segelintir yang tidak menerima keputusan pilihan raya.

"Bila menang pilihan raya dia ikut undang-undang, bila dia kalah pilihan raya dia tak mahu ikut undang-undang beginilah keadaannya nak melayan kerenah pembangkang," katanya lagi.

SPR telah mewartakan keputusan PRU13 pada 22 Mei lalu dan mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat bantahan boleh mengemukakan petisyen kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari bermula dari tarikh berkenaan.

Setakat ini laporan polis telah dibuat oleh penyokong pembangkang mengenai dakwat kekal dan mensasarkan 100,000 laporan.

Siasatan penipuan PRU13 yang didakwa pembangkang diketuai oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli akan didedahkan setiap hari dalam sidang media.

Sehubungan dengan itu Wan Ahmad berkata SPR bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu mengemukakan sebarang bukti mengenai dakwaan penyelewengan oleh suruhnajaya itu dengan syarat mengikut saluran undang-undang yang disediakan.

"Apabila petisyen difailkan dan didengar oleh mahkamh, SPR juga akan berhadapan dengan mereka di mahkamah untuk memberi segala penjelasan bagi pihak kita.

"Buatlah ikut saluran undang-undang. Berdemonstrasi dan menghasut rakyat tak menyelesaikan masalah, ianya menambah masalah dan merosakkan keharmonian negara," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana