Veteran Umno: Usah pandang remeh undi popular PR

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar berpendapat antara sebab yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya adalah sikap parti pemerintah itu sendiri yang terlalu defensif.

Menegaskan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sejurus mengambil alih tugas dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun kerajaan dilihat lebih memberikan reaksi terhadap tuduhan-tuduhan pembangkang berbanding mengetengahkan komitmen yang telah dilaksana kerajaan.

“Kerajaan di bawah Datuk Najib ini paling banyak undang-undang kebebasan yang diperkenalkan untuk membebaskan dari kepompong pemikiran kita daripada dulu (yang) Pak Lah (Tun Abdullah) mulakan, lepas itu Datuk Najib buat banyak.

“Tapi mungkin ini diputar-belitkan, dimanipulasikan oleh parti-parti pembangkang. Dan kita selalu reaktif, kita tak ofensif,” kata Syed Hamid ketika diwawancara Antarapos baru-baru ini.

Berpandangan strategi menyerang peribadi tidak memainkan peranan yang signifikan di dalam mempengaruhi pengundi muda ataupun bukan Melayu, Syed Hamid turut berpendapat pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan selama ini tidak dikomunikasikan secara berkesan kepada rakyat.

Jentera-jentera BN juga katanya di dalam berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei lalu dilihat agak lewat di dalam melawan kempen ‘Ubah’ yang dibawa pembangkang terutamanya DAP.

“Saya punya pandangan, mungkin saya silap, saya fikir isu-isu peribadi ini tidak banyak memainkan peranan untuk mempengaruhi pengundi muda ataupun pengundi bukan Melayu.

“Yang sebenarnya kerajaan ini mempunyai banyak cerita-cerita baik yang mungkin tidak dikomunikasikan secara berkesan. Dan kita tidak ada jawapan yang mantap kepada kempen dia yang dilakukan selepas pilihanraya ke-12 iaitu ‘Ubah’.

“Kempen Ubah ini kita diakhir-akhir baru kita kata perubahan boleh berlaku tanpa tukar kerajaan, sudah kemudian.

“Patut kita tunjukkan apa kita sudah ubah...jadi ini lebih berkesan dan tunjukkan kepada orang muda. Kita patut ada kumpulan-kumpulan kecil terdiri daripada orang muda,” jelas beliau yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri.

Justeru dalam persediaan menuju PRU14 ujar beliau, BN perlu bertindak awal dengan melakukan usaha-usaha yang boleh membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka sememangnya mampu untuk berubah dan bukan diubah.

“Saya fikir kita punya persediaan selepas kita lakukan post-mortem, kita kena tentukan bahawa kita ambil tindakan susulan daripada sekarang (untuk) dilihat sebagai memang kita mampu berubah, bukan kita diubahkan,” tegas Syed Hamid yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kota Tinggi dalam pilihanraya yang lalu untuk memberi ruang kepada muka baru.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pimpinan BN yang peluang Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memenangi pilihan raya akan datang sebagai cerah memandangkan undi popular PRU13 dilihat menyebelahi mereka.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin BN agar tidak memandang ringan isu undi popular ini sebaliknya memikirkan cara untuk memastikan undi popular itu tidak diterjemahkan kepada pertambahan kerusi kepada Pakatan.

“Kali ini mereka (Pakatan) lebih mudah untuk memenangi PRU14 kerana undi popular dia sudah meningkat. Memanglah kita tak berasaskan undi popular, tetapi jangan kita memandang remeh atau ringan berkenaan undi popular ini.

“Dan saya fikir baik dari sekarang kita tangani isu ini supaya undi popular ini tidak diterjemahkan kepada kerusi,” gesa beliau.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana