UMAT ISLAM DISERU BERMUNAJAT KEPADA ALLAH UNTUK SELAMATKAN NEGARA


Dalam mana-mana pilihanraya samada di dalam atau di luar negara calon-calon dan parti yang bertanding mengharapkan sokongan dan undi daripada para pengundi. Berbagai cara digunakan untuk menarik minat dan keyakinan terhadap calon dan parti yang bertanding. Di antara peruntukan kewangan yang banyak dibelanjakan biasanya digunakan untuk mempromosi calon dan parti.

Musim pilihanraya ini kita dapat saksikan daripada Perlis sampai ke Johor dan Sabah sampai ke Sarawak, disepanjang-panjang jalanraya terdapat berbagai bentuk dan corak alat-alat promosi yang dibina, digantung, direntang, ditampal dan dipacak memenuhi kiri kanan jalanraya termasuk jalan-jalan kampung di daerah-daerah pendalaman yang terpencil. Semuanya tidak lain dan tidak bukan untuk meraih undi dan untuk menjamin kemenangan kepada calon dan parti yang bertanding.

Ini tidak termasuk ceramah perdana, ceramah skala sederhana dan ceramah kelompok yang dibuat setiap malam dan sebahagiannya dilakukan pada siang hari. Gerakerja-gerakerja politik ini dibuat tidak lain dan tidak bukan untuk meminta para pengundi mengundi mereka jika tidak atas nama calon undilah atas nama parti ataupun kedua-duanya sekali.

Persediaan dibuat walaupun dalam intensiti yang berbeza biasanya mengambil jarak masa yang agak lama. Setengahnya seawal pilihanraya sebelumnya. Begitulah lumrahnya yang berlaku di negara ini setiap kali pilihanraya umum atau pilihanraya kecil tiba. Kalau dilihat dengan teliti segala gelagat dan tingkah laku calon, ahli dan penyokong parti jelas bahawa harapan untuk menang biasanya disandarkan kepada sokongan dan dokongan pengundi-pengundi yang akan turun membuang undi.

Barangkali ini termasuk juga amalan yang dilakukan oleh parti-parti yang membawa mesej Islam. Maknanya harapan dan pergantungan kepada manusia dilihat begitu ghairah dilakukan. Tetapi jika ditinjau dari satu pandangan yang lain manusia hanya bertindak tetapi perancang agongnya adalah Allah Maha Pencipta yang menguasai seluruh alam dan buana. Allah SWTlah yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia.

Memang di sana sini secara runcit runcitan diadakan berbagai acara agama seperti majlis doa selamat atau solat hajat yang dilakukan secara perseorangan atau secara berkumpulan samada kumpulan kecil atau besar. Seperti yang disebut amalan ini dikatakan berlaku secara runcit runcitan dan bagi sesetengah parti politik termasuk parti yang rata-ratanya didokong oleh orang Melayu Islam, amalan sedemikian tidak dimasukkan sebagai agenda utama dalam proses meraih kemenangan.

Memandangkan betapa getirnya pilihanraya ke 13 ini dalam mencorakkan masa depan dan keberlangsungan agama Islam dan kemartabatan bangsa Melayu, saya ingin menyerukan sampailah masanya bagi pertubuhan-pertubuhan politik dan bukan politik bergabung tenaga dan kekuatan untuk melakukan ibadah yang menjadi warisan dan Sunnah Nabi Muhammad SAW, para Sahabat dan Tabi' Tabi'in iaitu bermunajat memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah SWT kerana dari segi tauhidnya segala-galanya berlaku atas ketentuan Allah SWT.

Senjata dalam bentuk media, iklan-iklan dan ceramah dalam berbagai bentuk mempunyai limitasi masing-masing kerana gerakkerja itu datang dari manusia untuk manusia. Munajat kepada Allah seperti berqiayamullail, melalukan solat hajat dan berdoa dengan bersungguh-sungguh dengan menitiskan air mata mengharapkan Allah yang Maha Esa menunjukkan jalan yang benar disamping meredhai apa yang diusahakan. Kuasa Allah menerima dan memberi tidak ada limitasinya. Wajib bagi kita samada pertubuhan politik atau bukan politik dalam suasana yang ada sekarang ini menggesa ahli dan penyokong masing-masing supaya ruku’ dan sujud menyembah Allah dan terus bermunajat dimalam-malam akhir sebelum tibanya 5 Mei 2013.

Ajukan kepada Allah SWT supaya negara kita bebas daripada sebarang bentuk malapetaka, huru hara dan suasana yang merobek keamanan dan kesejahteraan yang selama ini dinikmati oleh rakyat lebih daripada 50 tahun yang lalu. Mohonlah kepada Allah SWT agar usaha untuk membawa fahaman-fahaman yang boleh merosakkan aqidah umat seperti Pluralisme Agama, Islam Liberal, mengiktiraf LGBT dll di sekat dan digagalkan. Mohon juga bantuan dan pertolongan Allah SWT agar seluruh umat Islam di negara ini dibukakan hati mereka untuk menyedari tentang bahaya yang akan menimpa Negara ini sekiranya mereka tersilap memilih parti yang memerintah.

Sesungguhnya Pakatan Rakyat dengan agenda dan ideologi politik yang bersimpang siur telah membentangkan dan menjanjikan berbagai tawaran. Sebahagian daripada agenda, tawaran dan janji mereka boleh mencetuskan keadaan huruhara dan seterusnya menggugat kestabilan negara ini.

Kita juga perlu memohon perlindungan Allah SWT daripada kerja jahat campurtangan asing termasuk gerakan Kristianisasi dan Yahudi antarabangsa yang berhimpun di Jurusalem beberapa hari lepas memohon menerusi ajaran agama mereka supaya pilihanraya umum yang ke 13 ini akan mengakibatkan pertukaran kerajaan. Mereka memohon dan mendoakan supaya kerajaan yang sedia ada ditumbangkan dan membentuk kerajaan baru yang disebut sebagai Kerajaan Tuhan yang akan menjalin hubungan rapat di antara Malaysia dengan Israel.

Marilah kita memohon kepada Allah ‘Azzawajalla agar hasrat dan niat buruk mereka untuk merubah asas-asas kenegaraan yang fundamental tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Sebaliknya meneruskan tradisi membangun negara dengan memberi penekanan kepada penghayatan Islam seutuhnya adalah di antara opsyen yang ada di negara ini bagi menjaga kelestariannya (sustainability)

Akhirnya sebagai insan kerdil saya ingin menyerukan kepada seluruh pimpinan pertubuhan politik dan bukan politik untuk mewajibkan diri-diri mereka serta ahli dan penyokong mereka supaya menggunakan malam-malam berbaki ini terutamanya mengambil keberkatan di malam Jumaat untuk menadah tangan ke langit memohon ke hadrat Allah SWT agar negara tercinta ini terus dipelihara dan rakyatnya sentiasa berada di bawah dakapan kasih sayang, kecintaan dan keredhaanNya.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana